YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Negara pada petang Selasa. Menurut hantaran di laman Facebook Istana Negara, sesi menghadap yang bermula pukul 5 petang itu merupakan kali pertama sejak Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November. Al-Sultan Abdullah telah memperkenankan pelantikan pengerusi Pakatan Harapan itu mengikut Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Pelantikan dibuat selepas Seri Paduka menimbangkan pandangan rakan-rakan Raja Melayu yang mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada hari yang sama untuk membuat keputusan terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyat. Anwar juga akan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-260 di Istana Negara esok. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI