TEKA-teki mengenai barisan Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan perpaduan dijangka terjawab pada Jumaat. Mereka yang dilantik menganggotai Kabinet dijangka mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu. Sumber berkata, pengumuman itu akan dibuat kira-kira pukul 5 petang, selepas lawatan Anwar ke Ipoh, Perak. "Ya, akan ada pengumuman (Kabinet). Ia telah dijadualkan pada lewat petang," kata satu sumber. Anwar, 75, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November, juga dijangka melantik dua timbalan perdana menteri. Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof disebut-sebut sebagai calonnya. Jika pelantikan itu berlaku, ini pertama kali Malaysia mempunyai dua timbalan perdana menteri, dan Fadillah akan menjadi individu pertama dari Sabah, Sarawak memegang jawatan tersebut. Tumpuan kini juga pada saiz Kabinet dan sama ada Anwar sudah memutuskan barisan penuhnya. Dalam pada itu, sumber turut memberitahu bahawa kemungkinan Anwar dijangka hanya mengumumkan beberapa portfolio dalam Kabinet. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI