SEMUA pihak diminta menghormati proses perundangan yang dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sehingga mahkamah membuat keputusan. Demikian respons Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berhubung kritikan apabila melantik Ahmad Zahid sebagai timbalannya dalam Kerajaan Perpaduan. "Itu hak mereka pertikaikan. Tapi yang pertikaikan tu siapa dan alasan apa? "Dia (Ahmad Zahid) didakwa, belum ada hukuman dan proses itu kita harus hormati. "Kebetulan juga dia adalah Presiden Umno dan Pengerusi BN. Dalam Kerajaan Perpaduan ini saya ambil kita semua faktor itu," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Kerajaan Perpaduan di Putrajaya pada Isnin. Sebelum ini Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata barisan Jemaah menteri yang menganggotai pentadbiran Anwar sebagai Kabinet ‘kleptokrat’ yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat. Ujar Muhyiddin, sesuatu yang cukup mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tidak melatah dengan kritikan itu, Anwar bagaimanapun mempertikaikan kewajaran Muhyiddin bersuara tentang isu rasuah. "Tapi yang saya musykil, orang yang jerit soal rasuah itu harus bersih. Dia tak boleh jerit tapi ambil projelk ratus-ratus juta. "Sebab itu bila dicabar masa kempen dulu, saya kata sama-sama kita isytihar harta. "Saya nak juga orang lain termasuk Pengerusi PN supaya isytihar harta dia sama ada dalam negara, Australia dan negara lain... tapi tiada jawapan," katanya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI