suria

Guna IC palsu selama 22 tahun, wanita warga Indonesia didenda RM5,000

Seorang warga Indonesia (tengah) didakwa kerana memiliki kad pengenalan palsu.

SEORANG wanita warga Indonesia yang menggunakan kad pengenalan palsu sejak lebih 20 tahun lalu, didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di Melaka, Khamis.

Hukuman tersebut diputuskan oleh Majistret Nabilah Nizam terhadap Linda Crystal, 38, selepas dia mengaku bersalah atas kesalahan itu.

Tertuduh yang merupakan pendandan rambut, dari Bandung, Indonesia membayar denda pada hari sama.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh memiliki kad pengenalan palsu atas nama 'Tan Bee Bee' yang beralamat di Alor Gajah.

Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Melaka, pada pukul 1 tengah hari Isnin lalu.

Tertuduh cuba menyemak status kad pengenalan di pejabat JPN apabila kesalahan tersebut dikenal pasti.

Hasil siasatan lanjut JPN, tertuduh mengaku memiliki kad pengenalan itu selama 22 tahun sejak berusia 16 tahun.

Tertuduh juga memiliki kad pengenalan warga Indonesia.

Tertuduh didakwa mengikut mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, dan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan. - The Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain