SEORANG wanita berusia 44 tahun kerugian RM150,000 gara-gara cinta. Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata laporan telah diterima daripada mangsa pada Selasa. Menurut mangsa, dia kehilangan wang tersebut kepada seorang teman lelaki yang dikenalinya di media sosial. Zulkipli berkata mangsa mula menjalinkan hubungan dengan lelaki itu di Facebook pada September. "Pada 8 Oktober, suspek menghubungi mangsa melalui WhatsApp. "Suspek memberitahu wanita itu yang dia telah ditahan di Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana membawa masuk sejumlah mata wang paun Britain. Suspek mendakwa tersekat di pintu masuk negara dan terdesak memerlukan bantuan kewangan. -Gambar hiasan "Lelaki itu meminta mangsa untuk membantunya membayar wang ikat jamin," kata Zulkipli, Rabu. Wanita itu yang termakan umpan cerita sedih tersebut telah membuat pemindahan wang sebanyak 12 kali yang berjumlah RM152,050 ke dua nombor akaun bank yang diberikan suspek. "Walau bagaimanapun, dia akhirnya sedar yang dia telah ditipu lelaki itu," ujar Zulkipli. Zulkipli menasihati orang ramai untuk berwaspada dengan pihak yang dikenali di media sosial. "Jangan mudah percaya dengan kisah yang diceritakan individu tidak dikenali. "Seterusnya jangan terlampau selesa untuk menghantar wang kepada orang yang dikenali hanya melalui media sosial," tambah Zulkipli. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI