suria

Sayang sampai hujung nyawa, mangsa tanah runtuh mati berpelukan dengan anjing peliharaan

Anjing itu dipercayai haiwan peliharaan milik seorang lelaki yang mayatnya ditemui pada pagi Rabu.

BANGKAI dua ekor anjing ditemukan di Sektor B (farmview) di tapak tanah runtuh Batang Kali, yang menandakan berakhirnya pencarian di sektor itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata anjing itu dipercayai haiwan peliharaan milik seorang lelaki yang mayatnya ditemui pada pagi Rabu.

"Mayat lelaki itu ditemui sedang memeluk seekor daripada anjing itu manakala bangkai anjing yang lain berada berhampiran.

"Lelaki itu dipercayai membawa tiga anjing bersamanya ke Sektor A (Hillview), menurut laporan orang hilang, tetapi anjing ketiga masih belum ditemui," katanya.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Hafisham Mohd Noor berkata penemuan itu akan menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sektor B.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh Batang Kali: Seorang lagi mayat lelaki ditemukan, baki tujuh mangsa masih dicari

"Mayat lelaki dan anjing itu ditemui selepas menggali 1.5 meter ke bawah di Sektor B, iaitu kawasan yang agak kecil dan cetek.

"Kami percaya baki bangkai anjing itu telah dihanyutkan ke Sektor C yang lebih rendah (tepi sungai).

"Oleh itu, operasi SAR di Sektor B akan berakhir kerana kami telah membersihkan sepenuhnya sektor itu.

"Dipercayai sekurang-kurangnya seorang lagi mangsa tertimbus di Sektor A dan kita akan mengalihkan usaha ke sana serta Sektor C," katanya.

Jumlah kematian yang disahkan ialah 26, dengan tujuh mangsa masih belum dapat dikesan setakat pukul 3 petang Rabu. - The Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain