MAYAT mangsa terakhir dalam kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm akhirnya ditemukan di bawah timbunan tanah sedalam 1.5 meter. Mangsa terakhir itu tertimbus di lerengan bukit berhampiran tapak perkhemahan sektor A hillview (pemandangan bukit). Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah menyatakan mayat itu ditemui pada pukul 4:15 petang di dalam sebuah beg tidur. "Mangsa berumur dalam lingkungan tujuh hingga 12 tahun. "Kanak-kanak lelaki itu masih berpakaian lengkap tetapi badannya sudah mula mereput," katanya pada pemberita di pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Batang Kali pada Sabtu. Sejumlah 80 anggota dari pelbagai agensi telah terlibat dalam operasi SAR. Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Wan Md Razali mengatakan salah seorang anggota bomba melihat sejenis cecair mengalir keluar dari lerengan bukit di Sektor A. "Dia berasa janggal melihat cecair itu dan terus menggali menggunakan penyodok dan menemui mayat mangsa dalam sebuah beg tidur," katanya. Sementara itu, Superintendan Suffian memaklumkan operasi SAR akan diteruskan kerana pihak berkuasa perlu memeriksa dan menyiasat 'ground zero'. 'Kita akan membuat keputusan mengenai status operasi esok. "Mewakili semua agensi terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).... saya sebagai Komander Operasi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. "Kerana tidak henti mendoakan agar proses pencarian semua mangsa terbabit dipermudahkan," katanya. Sejumlah 80 anggota dari pelbagai agensi telah terlibat dalam operasi SAR yang berlangsung selama sembilan hari, kata Superintendan Suffian Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI