suria

Rogol anak tiri umur 13 tahun sejak 2021, pekerja warung ditahan

Suspek direman selama tujuh hari sehingga 5 Januari depan bagi membantu siasatan.

POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki merogol anak tirinya berusia 13 tahun di Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan, pada 10 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 34 tahun ditangkap kira-kira pukul 5 petang semalam di sebuah warung tempatnya bekerja.

Penangkapan dibuat kurang tiga jam selepas mangsa membuat laporan polis pada pukul 2.28 petang.

Menurut Chang Hook, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerima laporan yang dibuat oleh mangsa susulan kejadian rogol yang berlaku kira-kira pukul 8 malam, 10 Disember lalu ketika mangsa sedang tidur di ruang tamu.

“Mangsa telah menceritakan kejadian tersebut kepada kakaknya dan kakaknya telah membawa mangsa untuk membuat laporan polis. Mangsa turut mendakwa mula dirogol oleh suspek sejak tahun lalu sehingga kali terakhir iaitu pada 10 Disember lalu.

“Mangsa kini diletakkan di bawah jagaan neneknya sementara pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat kelulusan bagi permohonan perlindungan interim terhadap mangsa,” katanya dalam kenyataan, Jumaat.

Menurut Chang Hook lagi, suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau kini ditahan reman selama tujuh hari, mulai Jumaat sehingga 5 Januari bagi membolehkan siasatan terhadapnya dijalankan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain