suria

“Berhenti kritik dia“ - Bapa pelajar minta jurulatih tampar anaknya tak dikenakan tindakan

Video seorang jurulatih menampar dua pemainnya tular di media sosial.

BAPA kepada remaja pemain bola tampar yang dilempang seperti yang dilihat dalam satu video tular berharap tidak ada tindakan diambil ke atas jurulatih terbabit.

Ab Halim Bakar, 50, berkata jurulatih itu, Saiful Hadee Amar atau senang disapa sebagai Cikgu Hadi telah banyak mengajar anaknya, Nur' Saidatul Akma, 14, dan pelajar lain untuk menjadi pemain bola tampar berkualiti.

"Tolong berhenti kritik dia, saya hormati dia sebab dia bantu disiplinkan anak saya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Melekek, Melaka, Selasa.

Ab Halim yang bekerja sebagai juruteknik berkata jurulatih itu telah membelanjakan duitnya sendiri dan meluangkan masa untuk melatih pemain-pemain di bawah kendaliannya.

"Seorang lagi anak saya berumur 16 tahun, Nur' Syaafiqah juga berada di bawah bimbingan Cikgu Hadi dan saya boleh katakan dia merupakan seorang jurulatih yang berdedikasi," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes tampar pemain: Ibu bapa terima permohonan maaf, tak mahu panjang-panjang isu... Nasib jurulatih diketahui Rabu ini

Ab Halim berkata prestasi anaknya dalam sukan bola tampar dilihat bertambah baik ketika berada di bawah didikan Cikgu Hadi yang merupakan ketua jurulatih mereka.

"Mereka telah berlatih di bawah Cikgu Hadi sejak mereka masih kanak-kanak. Nur' Saidatul juga tidak mengalami sebarang trauma emosi dari insiden itu

"Malah dia kini lebih kuat kerana ketegasan Cikgu Hadi. Ketahuilah saya akan menjadi orang pertama untuk membuat laporan polis jika benar anak saya cedera kerana insiden itu," katanya.

Ab Halim menekankan bahawa sumbangan Cikgu Hadi ke atas anak-anaknya adalah sangat besar dan dia sekali lagi berharap tidak akan ada tindakan yang diambil ke atas Cikgu Hadi.

"Cikgu Hadi sangat menitikberatkan disiplin dan kami tak ada sebarang permasalahan dengan dia," tambahnya.

Pada Isnin, Kementerian Pendidikan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa pemain yang telah ditampar ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B-14 peringkat Melaka.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata maklum balas dari ibu bapa dan pemegang taruh yang lain akan diambil kira dan dilihat secara keseluruhan.

Siasatan akan diteruskan memandangkan ia melibatkan integriti dan disiplin.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain