suria

“Mekanisme cukai jalan lebih efisien sedang diusahakan” – Loke

Anthony Loke berucap ketika satu majlis makan malam pada Jumaat.

MEKANISME pemerolehan cukai jalan yang lebih efisien dan memudahkan pengguna akan diperkenalkan selepas perayaan Tahun Baharu Cina dan keperincian mengenai sistem tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Anthony Loke.

Menteri Pengangkutan itu berkata Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) telah memohon tempoh penangguhan selama 30 hari bagi kenderaan terpakai dipandu di atas jalan raya selepas selesai pertukaran hak pemilik kenderaan, sementara menunggu pelekat cukai jalan baharu daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Saya akan pilih satu hari selepas perayaan Tahun Baharu Cina untuk bercakap mengenai mekanisme baharu ini.

“Saya sedar isu berkaitan cukai jalan telah menyebabkan banyak kesulitan kepada orang ramai. Kita boleh mendigitalisasikan dan memudahkan proses tersebut,” katanya kepada tetamu di majlis makan malam sempena ulang tahun ke-55 Persatuan Peniaga Kereta dan Syarikat Kredit Kuala Lumpur dan Selangor pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: CarSifu, FMCCAM jalin kerjasama strategik teroka peluang baharu

Loke mengambil maklum pendigitalan akan membantu memberikan servis yang lebih lancar dan pantas kepada orang awam.

“Melalui digitalisasi, orang awam tidak perlu lagi pergi ke pejabat JPJ untuk membayar atau mengambil pelekat cukai jalan,” katanya.

Loke berharap persatuan-persatuan berkenaan boleh menggunakan memorandum untuk menghantar pandangan dan cadangan mereka dalam menambahbaik isu berkaitan pengangkutan kepada kementeriannya.

Dia berkata banyak organisasi berminat untuk mengadakan dialog bersamanya tetapi mungkin mempunyai kekangan masa untuk menghadiri perbincangan kerana kementeriannya merangkumi pengangkutan darat, udara dan laut yang melibatkan kumpulan berbeza-beza.

Tambah Loke, setiap memorandum yang diterima akan dihantar kepada jabatan yang berkaitan untuk ditentukan kebolehlaksanaannya.

Loke juga menyaksikan memorandum persefahaman dimeterai antara CarSifu, sebuah anak syarikat milik Star Media Group, FMCCAM dan ezAuto asia Sdn Bhd ketika majlis sambutan ulang tahun itu.

Memorandum persefahaman itu akan melihat semua pihak berganding bahu untuk bersama meningkatkan pengalaman pengguna ketika membeli kereta baru dan terpakai.

Loke (berdiri di tengah) menyaksikan memorandum persefahaman dimeterai antara Ketua Eksekutif Kumpulan Media Star, Alex Yeow, Setiausaha Agung Kehormat FMCCAM, Khoo Kah Jin dan Pengarah Urusan Kumpulan ezAuto Asia Sdn Bhd, Khor Lin Yong bersama Presiden FMCCAM, Datuk Tony Khor (berdiri, lima dari kanan).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

CarSifu, Kumpulan Media Star, FMCCAM, MoU

Artikel Lain