suria

Wang bantuan persekolahan RM109,000 ‘lesap’ dari kereta pengetua, sah ada pelanggaran SOP - Fadhlina

Fadhlina berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes melibatkan kecuaian.

WUJUD pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sewaktu pengeluaran wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang dilarikan individu dalam satu kejadian di Beranang, Selangor semalam, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, tatacara pengeluaran wang tunai yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan menyebut, pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru atau mendapatkan perkhidmatan pengiring daripada polis jika mengeluarkan wang tunai melebihi RM10,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih RM100,000 lesap sekelip mata, wang bantuan awal persekolahan dilarikan

"Dalam kes khusus ini, jumlahnya melebihi RM100,000. SOP sudah pasti dilanggar.

"Saya memandang serius kes ini dan kita akan menunggu siasatan polis dan laporan Jabatan Pendidikan Selangor sebelum memutuskan tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas melawat SK Chepor di Ipoh, pada Selasa.

Dalam kejadian pagi Isnin, seorang individu didakwa menceroboh kereta guru besar berkenaan dan melarikan wang RM109,000 yang disimpan di tempat duduk penumpang hadapan.

Ketika kejadian, guru besar berkenaan pergi untuk mendapatkan minuman dari sebuah restoran berhampiran.

Wang tersebut diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, yang sebelum itu dikeluarkan dari sebuah bank di Kampung Baru Semenyih oleh guru besar dan dimasukkan ke dalam beg.

Fadhlina menambah, kementeriannya tidak akan berkompromi dalam mana-mana kes yang melibatkan kecuaian.

"Adalah hak pelajar untuk menerima bantuan, dan ini sama sekali tidak akan dikompromi," katanya lagi.

Fadhlina menambah, pada pengetahuannya, ini adalah kejadian pertama seumpama itu berlaku kerana dalam tatacara pengeluaran wang, ia memerlukan pihak yang berkenaan mematuhi SOP yang ditetapkan. - THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain