suria

Terngiang-ngiang suara adik minta telefon bimbit baharu... Tapi tak sempat, abang terduduk tatap jenazah

Abu Sabir hanya mampu menangis di sebelah mayat adiknya.

HASRAT seorang abang untuk menggantikan telefon bimbit adiknya yang rosak tidak kesampaian.

Keterujaan Abu Sabir Abdullah pulang ke kampung sempena cuti perayaan bertukar menjadi ‘mimpi buruk’ selepas terpaksa menatap jenazah adik kesayangannya itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi Jumaat, adiknya Abdul Rahman Mohd Said, 15, ditemui meninggal dunia oleh orang awam dalam keadaan tertiarap di kawasan semak berpaya di Kampung Delima, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut remaja berusia 18 tahun itu, dia mengetahui tentang kejadian menimpa adik tirinya itu selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga ketika berada di rumah.

Susulan itu dia bersama bapa dan ahlu keluarga yang lain bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui mayat adiknya di kawasan semak berpaya kira-kira 200 meter dari kediaman mereka.

"Beberapa hari sebelum kejadian, arwah adik hubungi saya dan memberitahu telefon bimbitnya rosak dan meminta saya beli yang baru.

"Saya beritahu akan pulang pada Khamis... tapi tidak sangka hasrat menemui adik tidak kesampaian. Malah tidak menyangka kepulangan saya disambut dengan jenazah adik," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Menurutnya, walaupun Abdul Rahman hanyalah adik tiri namun dia sudah menganggap arwah seperti adik kandungnya.

"Saya sangat rapat dengan arwah... ke mana saya pergi arwah pasti saya bawa. Namun selepas saya bekerja di Kota Belud kami hanya berhubung melalui telefon selama hampir setahun.

"Apabila arwah beritahu telefon bimbitnya rosak, saya terus beritahu akan beli yang baharu untuk dia.

"Saya sangat sedih tidak dapat menunaikan hasratnya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata, hasil pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan dari Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), mengesahkan kematian mangsa disebabkan terkena renjatan elektrik.

Bagaimanapun katanya, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berada di lokasi juga membuat pemeriksaan dan siasatan bagi mengenal pasti kejadian.

"Setakat ini tidak menemukan unsur-unsur perbuatan jenayah dan siasatan kes masih diteruskan,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). -THE STAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Sebelum

Artikel Lain