SEORANG lelaki disyaki memiliki video lucah dalam telefon bimbitnya selepas ditahan kerana menimbulkan kekecohan ketika membuat laporan di balai polis. Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pengadu mendakwa dompetnya yang mengandungi kad pengenalan diragut seorang lelaki di Pandan Indah. Menurut beliau, lelaki itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang pada Ahad untuk membuat laporan tetapi berang selepas diminta menunggu. "Dia meninggikan suara pada pegawai penyiasat yang merakam keterangannya, mengatakan dia telah menunggu lebih sejam untuk membuat laporan. "Dia kemudian berdiri dan membaling kerusi ke arah pintu sambil menjerit 'mahu balik'," katanya dalam kenyataan, pada Isnin. Perbuatannya itu membawa kepada pemeriksaan polis, yang menemui beberapa video lucah di telefonnya. Mohamad Farouk juga berkata, siasatan mendapati lelaki itu membuat laporan palsu kerana hendak memohon bagi kad pengenalan baharu. "Lelaki berusia 29 tahun itu, yang merupakan pekerja bank, direman sehingga 1 Februari ini,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube