PENCERAMAH bebas, Abdullah Khairi Harun mendakwa dihalang dari menyertai program Forum Perdana Ehwal Islam yang akan berlangsung di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Rabu, 1 Februari. Maklumat tersebut dikongsikan oleh ustaz Abdullah Khairi (UAK) melalui hantaran di Instagram pada awal pagi Selasa namun kini ia sudah dipadam. "Dua program dah kena gam! Haaaa takut pada bayang-bayang. Dua bulan aku di Makkah. "Masjid Kampung Baru Kuala Lumpur (KL) dan Masjid Al Najihin KL- bye bye (selamat tinggal)!" tulis Abdullah Khairi dalam hantaran tersebut. Disertakan bersama hantaran itu adalah poster program ceramah terbabit memaparkan tanda ‘X’ pada wajah Abdullah Khairi yang ditafsirkan bahawa dia sudah 'digam' daripada bersuara. Turut dijemput dalam program itu adalah pendakwah bebas terkemuka seperti Haslin Baharin atau lebih senang disapa sebagai Ustaz Bollywood dan Datuk Mohd Izhar Arif Kashim serta Zakaria Othman sebagai moderator. Program yang didakwa 'gam' Abdullah Khairi. Terkini Abdullah Khairi membuat hantaran baharu di Instagram miliknya memberikan penjelasan ringkas mengenai situasi itu dan mendakwa dia 'digam' kerana terpalit unsur politik. "Haaaaa! Dah viral dah! Bercakap atas tajuk, sekali takut dah. Aku bukan ahli politik atau ahli jawatankuasa (AJK) mana-mana parti! Pilihanraya baru ni aku dua bulan di Makkah. "Sama saja sapa yang naik pun, dulu zaman Barisan Nasional kena 'gam,' ni Kerajaan Madani lebih kurang juga. Ada yang panas punggung tengok muka aku. Sekarang banyak media sosial la, orang dah tak tengok televisyen. "Kalau nak batal pun habaq (beritahu) la awal, banyak masjid lain aku boleh pi (pergi). Kedah ada! Terengganu ada! Kelantan lagi ada," tulis Abdullah Khairi di ruangan kapsyen hantarannya. ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan la batal saat akhir” - Ridhuan Tee antara penggerak Forum Perdana, kini ‘direhatkan’ daripada muncul di RTM Abdullah Khairi cuba dihubungi pihak mStar namun masih belum memberikan sebarang maklum balas. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan sokongan kepda Abdullah Khairi dan berkata mereka akan mengikuti dakwah Abdullah Khairi melalui platform media sosial. "Disekat di televisyen je pun ustaz, kami sekeluarga pun dah lama tak tengok televisyen. Banyak sumber lain lagi ustaz boleh bagi kami tengok, don't worry ustaz. "Semakin mereka nak cuba sekat, semakin membara lagi ceramah-ceramah agama ustaz. "Mari sini datang Kelantan, kami akan sambut dengan meriah," kata sebilangan warga maya. Sebelum ini seorang lagi penceramah popular, Ridhuan Tee Abdullah dibatalkan kemunculannya dalam Forum Perdana Ehwal Islam bagi siaran RTM pada Disember tahun lalu. Ridhuan Tee Abdullah berkata beliau hanya dimaklumkan oleh pihak RTM berhubung pembatalan itu kira-kira dua hari sebelum siaran berlangsung tanpa menyatakan alasan mereka berbuat demikian. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube