suria

Wow, dari ‘zero’ ke million! Jual sambal je, Khairulaming kongsi catat jualan RM21.5 juta dalam masa 2 tahun

Sambal keluaran Khairulaming mencatatkan jualan lebih RM20 juta selepas dilancarkan dua tahun lalu.

REZEKI tidak pernah salah alamat.

Hasil kerja keras sejak menonjolkan diri dan memanfaatkan media sosial, Khairulaming bukan sahaja meraih jutaan peminat, malah turut membuktikan kemampuannya sebagai usahawan.

Terbaharu, personaliti media sosial itu berkongsi berita gembira bahawa produk Sambal Nyet keluarannya telah mencatatkan hasil jualan luar biasa selepas dua tahun ia dilancarkan.

"Hari ni genap dua tahun kita menjual Sambal Nyet Berapi dan saya gembira nak kongsi dengan anda yang jumlah keseluruhan jualan kita telah mencecah sebanyak RM21.5 juta bersamaan dengan jualan sebanyak 1.5 juta botol sambal.

"Pada tahun pertama, jualan kita adalah sebanyak RM7.5 juta dan tahun kedua meningkat ke RM14 juta, jadi jumlah keseluruhan dua tahun adalah sebanyak RM21.5 juta," ujarnya.

Kejayaan produk makanan itu bukan sahaja dizahirkan menerusi angka jualan, malah ia turut mendapat pengiktirafan istimewa biarpun baru setahun jagung berada di pasaran.

"Kita juga ada terima dua special award daripada Shopee iaitu Best New Seller dan Best Customer Service," ujarnya menerusi ciapan video di laman Twitter pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu tak cukup, Khairulaming buka kilang Sambal Nyet kedua di Kota Bharu... Jualan cecah RM14 juta

Dalam video itu, Khairulaming mendedahkan pihaknya menerima lebih kurang 1,000 kilogram (kg) bawang dan cili sehari untuk menampung pengeluaran produk tersebut.

Sambal Nyet turut menerima dua anugerah daripada Shopee.

Mengulas perancangan untuk 2023, Khairulaming mendedahkan dia juga sedang berusaha untuk melancarkan produk keduanya tidak lama lagi.

"Apa plan untuk 2023? Saya gembira nak umum yang kilang kedua kita di Kota Bharu, Kelantan telah beroperasi sepenuhnya untuk produk kedua dan kita pun dah plan banyak rewards nak bagi kat staf tahun ni.

"Kita juga dah mulakan on ground event terutamanya untuk Sambal Nyet di universiti. Saya gembira, saya bersyukur sebenarnya banyak liku-liku yang kita hadapi sebab kita mula daripada kosong, mula dari bawah.

"Tapi saya gembira cabaran ni buat saya lebih kuat untuk terus berkembang lagi di masa hadapan," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Khairulaming meraih populariti luar biasa selepas dia menghasilkan video masakan bulan Ramadan pada tahun 2018.

Anak jati Kelantan itu memiliki 3.5 juta pengikut di Instagram dan 2.4 juta di aplikasi TikTok.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain