suria

Bergelak ketawa lakukan vandalisme, siasatan dibuka ke atas pelajar sekolah menengah

Pelajar buat vandalisme di sekolah kerana mahu sambut akhir penggal persekolahan.

SEKUMPULAN pelajar sekolah menengah di Nibong Tebal, Pulau Pinang yang didakwa melakukan vandalisme untuk meraikan akhir penggal persekolahan sedang disiasat, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata pelajar yang terlibat telah dipanggil oleh pihak sekolah untuk membantu siasatan.

"Perkara ini (kegiatan vandalisme) berada dalam pengetahuan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

"Tindakan pertama sekolah adalah memanggil anak-anak ini (pelajar) dan ibu bapa mereka untuk siasatan.

"Berdasarkan video tular itu, saya tidak fikir ia satu perkara yang sepatutnya berlaku dan kita memang tidak berkompromi dengan tindakan-tindakan vandalisme dan keganasan.

"Untuk hal ini, bimbingan dan kaunseling juga difikirkan perlu diberikan kepada pelajar terbabit," kata Fadhlina ketika diminta untuk mengulas berhubung video tular memaparkan perbuatan vandalisme yang dilakukan sekumpulan pelajar berkenaan.

Terdahulu tular dua rakaman di media sosial masing-masing berdurasi 28 saat dan 58 saat menunjukkan beberapa pelajar menendang dan memecahkan pintu dan kerusi serta kipas sambil bergelak-tawa.

Fadhlina meminta agar video tersebut tidak terus ditularkan untuk melindungi identiti pelajar dan sekolah terlibat.

"Saya harap perkara ini tidak ditularkan dan berharap semua pihak dapat menurunkan video terbabit supaya kita dapat memberikan tumpuan untuk pemulihan kanak-kanak ini, khususnya kaunseling kepada mereka," kata Fadhlina. - Berita Harian

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain