PERARAKAN sekumpulan ahli Pemuda PAS Terengganu yang membawa senjata palsu dan perisai ketika program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT 2023), Jumaat lalu, mendapat kritikan daripada orang ramai. Gambar sekitar program yang dimuat naik di Facebook Pemuda PAS Terengganu itu turut menunjukkan antara yang hadir ialah presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa berkata program itu merupakan acara tahunan sejak 1991 dan ia merupakan perhimpunan seluruh jentera pemuda parti Islam negeri itu. Bagaimanapun, Mohd Harun berkata tiada sebarang unsur keganasan dan provokasi, dan sudah menjadi tradisi oleh Pemuda PAS tempatan untuk membawa 'replika' masing-masing ketika perarakan. ARTIKEL BERKAITAN: PAS Berhak Buat Himpunan RUU 355 - Nazri "Ada yang membawa tema sukan, pelantar minyak, wisma Darul Iman, bahkan ada yang berkuda pada penganjuran HIMPIT kali ini. "Tiada keganasan dan provokasi. Malah amat menarik melihat wakil setiap bahagian mempamerkan idea masing-masing," kata Mohd Harun. "Ada antara mereka yang memulakan persiapan hampir sebulan semata-mata untuk menyertai program kali ini. Anggota polis trafik juga ada bersama kami membantu mengawal lalu lintas ketika perarakan setiap kontinjen berlangsung dengan aman,"tambah Mohd Harun. Mohd Harun juga berkata penggunaan pakaian seragam perang zaman pertengahan juga merupakan sebahagian daripada tema perarakan itu. "Sama seperti perarakan atau pertandingan cosplay di seluruh negara di mana mereka mempamerkan senjata wira kegemaran mereka. "Malah, beberapa filem klasik perjuangan yang ditayangkan dalam pawagam yang menggunakan senjata juga diterima masyarakat," kata Mohd Harun. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research Datuk Dr Rais Hussin berkata PAS cuba merampas Islam dengan naratif dan imej politik tertentu. "Sebagai orang Islam, kita tidak boleh membenarkan ini. Kita perlu menyediakan naratif Islam yang sebenar," kata Rais dalam ciapannya. Aktiviti lain yang berlangsung dalam acara HIMPIT selama dua hari itu ialah perlawanan takraw, bola sepak, dan juga konvoi motosikal yang dilihat membawa bendera Pas. Dalam perkembangan terbaru, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Affandi Husain berkata pihaknya masih meneliti sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang berhubung tindakan peserta yang berarak membawa objek berbentuk senjata pada program kelmarin. Ujarnya, tindakan tersebut diambil selepas gambar perarakan berkenaan tular di media sosial sejak Sabtu. - THE STAR Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube