PENANTIAN seorang wanita yang menunggu kepulangan suaminya ke rumah bertukar tragis apabila mendapat berita bahawa lelaki itu meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya, di daerah Kota Marudu, Sabah. Terdahulu wanita berkenaan berkali-kali menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada suaminya, Jelson Ginsiu, 22, pada 26 Februari lalu untuk bertanya mengenai keberadaan lelaki itu, namun tidak dibalas. Susulan itu, wanita berkenaan membuat hebahan di media sosial untuk meminta bantuan orang ramai mengesan suaminya. Bagaimanapun teka-teki 'kehilangan' suaminya terjawab apabila mayat lelaki itu ditemui terapung di dalam longkang di Jalan Lotong, Kota Marudu pada Selasa (28 Februari). Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata wanita itu telah membuat laporan mengenai kehilangan suaminya pada Isnin selepas dia selesai bekerja pada pukul 9 malam Ahad (26 Februari). ARTIKEL BERKAITAN: Wanita menangis dimaklumkan suami kemalangan, sukar percaya ada seorang manusia baik sanggup bantu dari A-Z tanpa diminta "Kira-kira pukul 11.55 pagi Selasa, kami menerima laporan terdapat penemuan mayat di dalam longkang di Jalan Lotong dan ia adalah suami wanita tersebut yang hilang," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, difahamkan mangsa sedang menunggang motosikal pulang dari tempat kerja sebelum ditimpa kemalangan antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi, 27 Februari lalu. Supt Zairolnizal berkata, mangsa dipercayai pulang dari pekan Kota Marudu dan hilang hilang kawalan sehingga terbabas dan merempuh tiang lampu jalan sebelum terhumban ke dalam longkang. Pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan di kepala mangsa, katanya. Motosikal mangsa turut ditemui berhampiran. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat. Supt Zairolnizal menyeru saksi kemalangan untuk tampil membantu siasatan. - THESTAR Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube