suria

Isteri rajin berborak di tepi katil hospital, rider terlibat kemalangan menangis dalam koma... Nasib terbela sebab mencarum SKSPS Perkeso

Norfarahin berharap suaminya dapat bangkit semula, suatu hari nanti.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Norfarahin Jamsari, 25, setia menanti di sisi suaminya, Muhammad Hafizi Idris, 34, yang koma akibat kemalangan jalan raya ketika bekerja sebagai rider penghantar makanan pada 29 Ogos tahun lalu.

Menurut Norfarahin, motosikal dinaiki suaminya dirempuh sebuah kereta, menyebabkan mangsa mengalami pendarahan dalam kepala dan masih terlantar di hospital sehingga ke hari ini.

"Saya dapat tahu suami kemalangan daripada rakannya yang juga seorang rider. Selepas suami koma, hidup agak sukar kerana selama ini saya hanya bergantung kepada pendapatannya sahaja.

"Suami pula anak sulung daripada lima beradik. Sebelum ini dia banyak bantu keluarga, termasuk adiknya yang masih belajar di kolej. Jadi kami terkesan daripada semua aspek.

"Suami dah lebih setahun kerja sebagai rider FoodPanda. Sebelum ini dia kerja biasa, banyak lompat kerja. Sewaktu jadi rider, dia memperoleh pendapatan sekitar RM3,000 hingga RM4,000 sebulan," ujarnya yang telah berhenti kerja daripada sebuah butik.

pic 2

Sivakumar hadir menziarahi rider itu di Hospital Sungai Buloh pada Selasa.

Sepanjang fasa sukar itu, Norfarahin berkata dia tidak putus harapan, malah sentiasa yakin bahawa pemuda yang dinikahinya pada tahun 2021 itu akan bangkit semula suatu hari nanti.

"Keadaannya turun naik, tak stabil. Tapi doktor kata masih ada harapan untuk baik. Cuma ambil masa yang agak panjang. Selain kecederaan kepala, suami juga patah tangan kiri dan paha kiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Ringan beban... balu pemain PJ City terima RM3,555 sebulan daripada Perkeso

"Sepanjang dia dalam koma, matanya pernah berkedip beberapa kali. Ada juga saya perasan pergerakan tangan dan kaki. Saya sentiasa berborak dengan suami, sebab doktor pun ada pesan suruh bercakap dengannya.

"Dan banyak kali juga suami mengalir air mata dalam koma sewaktu saya bercakap dengannya. Tapi sangat jaranglah saya dapat saksikan detik macam ni. Saya berharap dia dapat ikut saya balik rumah, dapat sedar semula," ujarnya yang berkenalan dengan suaminya sejak tahun 2017.

Di sebalik duka yang melanda, nasib rider yang menetap di di Tanjung Karang, Kuala Selangor itu tetap terbela kerana dia merupakan pencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS).

Atas kesedaran mangsa yang mencarum SKSPS menerusi Program Dana Padanan Caruman Ekonomi Gig Platform (PenjanaGig), dia layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta bantuan lain.

pic 3

Mohammed Azman (kiri) mengiringi Norfarahin sewaktu dia menerima sumbangan daripada, Sivakumar.

Antara lain, Perkeso turut memberikan alatan sokongan pemulihan kepada Hafizi seperti ripple matress, lampin pakai buang dewasa serta Yuwell Portable Suction Machine.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar turut hadir menziarahi Hafizi serta menyampaikan sumbangan buat isterinya di Wad Neurosurgeri, Hospital Sungai Buloh, pada Selasa pagi.

Bercakap kepada media, Sivakumar menzahirkan rasa simpati atas nasib yang melanda pasangan itu dan berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

"Saya ingin menzahirkan rasa simpati kepada mangsa dan keluarga atas bencana yang menimpa. Namun syukurlah, Hafizi adalah seorang pencarum SKSPS Perkeso, dia layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS) sejak dimasukkan ke hospital iaitu dari 30 Ogos 2022. Jumlah bayaran Faedah HUS yang telah dibayar berjumlah lebih RM7,000.

pic 4

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada tahun 2021.

"Saya harap faedah ini dapat membantu isterinya menguruskan perbelanjaan diri dan rumah tangga sejak Hafizi terlantar di hospital. Selain itu, Perkeso akan menanggung kos rawatan perubatan dan juga peralatan pemulihan," ujarnya.

Sivakumar turut menggesa individu yang bekerja sendiri agar membuat caruman SKSPS supaya nasib mereka terbela sekiranya dilanda kejadian tak diingini pada masa akan datang.

"Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk berpesan kepada semua khasnya Orang Bekerja Sendiri supaya mengambil tindakan pencegahan dengan berhati-hati sewaktu di jalan raya, memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan yang sama pentingnya - pastikan anda memiliki skim perlindungan kerana bak kata pepatah, malang memang tidak berbau.

"Saya dimaklumkan bahawa dalam tahun 2022, seramai 1,509 gig rider di bawah perlindungan SKSPS terlibat dalam kemalangan dan 32 daripadanya maut. Perkeso menganggarkan sebanyak 125 kes tuntutan pekerja gig ditolak. Antara sebabnya adalah kerana tidak memperbaharui caruman atau langsung tidak mencarum di bawah SKSPS.

"Justeru, saya menyeru semua individu yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri mengambil iktibar dan mencontohi Saudara Hafizi yang melindungi diri beliau dan keluarga dengan mencarum SKSPS," ujarnya.

pic 5

Sivakumar hadir ke Wad Neurosurgeri Hospital Sungai Buloh untuk menziarahi rider itu pada Selasa.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 2.1 juta individu bekerja sendiri di Malaysia, namun hanya satu pertiga atau 34 peratus daripada mereka dilindungi SKSPS.

Pada tahun 2022, terdapat 713,122 pencarum aktif SKSPS yang mana 147,863 daripadanya, atau 20.7 peratus terdiri daripada pekerja dalam sektor gig.

Pada tahun lalu, PERKESO membayar faedah SKSPS berjumlah lebih RM16.53 juta kepada 4,724 orang pencarum.

Untuk memperluaskan lagi perlindungan keselamatan sosial kepada golongan bekerja sendiri, Kerajaan di bawah Belanjawan 2023, telah memperuntukkan dana RM100 juta untuk kesinambungan Program Padanan Caruman SKSPS menerusi Perkeso.

Perlindungan SKSPS bukan sahaja meliputi orang bekerja sendiri tetapi juga menjamin kebajikan orang tanggungan mereka sekiranya berlaku kematian berkaitan bencana pekerjaan sendiri.

Antara faedah di bawah Skim ini termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani dan Vokasional, serta Faedah Pendidikan.

Mengikut Malaysia Digital Economy Corporation pula, jumlah pekerja GIG di seluruh negara dianggarkan seramai 1.12 juta orang.

Setakat 31 Disember 2022, hanya 374,906 atau 33.5 peratus sahaja pekerja GIG yang telah mendaftar dan mencarum di bawah SKSPS, Perkeso.

Lawatan Sivakumar hari ini diiringi oleh Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohamed, Ketua Pengarah Hospital Sungai Buloh Dr. Jasmeet Singh Sucha Singh, Timbalan Pengarah Perubatan Dr. Nik Nor Aniza Nik Mohd Zain, Timbalan Pengarah Pengurusan Encik Mohd Rizal Abdullah dan Ketua Jabatan Neurosurgeri Hospital Sungai Buloh Dr Saiful Azli Mat Nayan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain