TAN Sri Muhyiddin Yassin tampil memberi penjelasan berhubung spekulasi yang bertiup kencang kononnya beliau ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menerusi satu hantaran di Facebook, bekas perdana menteri itu berkata bahawa laporan yang mengatakan beliau ditahan pada Rabu adalah tidak benar. "Saya ingin menjelaskan berita saya ditahan di padang golf hari ini yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu. "Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini. "Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke Ibu Pejabat SPRM pada pukul 11 pagi," tulisnya dalam hantaran berkenaan. Terdahulu, media melaporkan seorang pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) akan ditangkap SPRM, pada bila-bila masa. Media yang memetik sumber itu berkata, pemimpin yang merupakan ahli parlimen itu mungkin akan didakwa atas tuduhan rasuah berkaitan dana parti. Sementara itu, laporan lain kemudian memetik nama Muhyiddin dan mendakwa pemimpin itu ditahan ketika bermain golf. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube