PASAR malam menjadi 'lubuk' untuk rakyat Malaysia mencari pelbagai jenis makanan pada harga yang berpatutan. Baru-baru ini, seorang vlogger dari Scotland, Dale Philip menjadi perhatian ramai ketika selepas dia berkunjung ke pasar malam yang terletak di Taman Connaught, Cheras, Selangor. Ketika kunjungan itu, perhatiannya terarah kepada sebuah gerai yang sedang dikerumuni ramai pelanggan. "Hello, hi, apa itu?" soalnya ringkas kepada beberapa pelanggan yang sedang beratur. Pelanggan di gerai itu memberitahu bahawa mereka sedang beratur untuk membeli stinky tofu atau tauhu busuk dan menyifatkan rasanya seperti durian. Seorang pemuda kemudiannya membantu Philip untuk mendapatkan empat ketul tauhu busuk sebelum dia duduk di kawasan kaki lima untuk menikmatinya. "Ayuh cuba tauhu busuk ini. Teksturnya keras. Saya fikir ia bahan yang lembut. Ia nampak seperti biskut. Ia rangup. "Saya fikir rasanya seperti tauhu, namun busuk. Oh, ia benar-benar busuk. Rasanya macam stokin yang basi sikit. Vlogger itu berkongsi video ketika dia berkunjung ke sebuah pasar malam, baru-baru ini. "Macam kamu panjat gunung, dan kamu cabut stokin dan lemparkannya ke tepi dan lupa untuk mencucinya sehingga beberapa hari, mungkin begitulah baunya," ujarnya sebelum menyuap hidangan itu ke dalam mulutnya. Philip gagal menyembunyikan reaksi jijik sejurus gigitan pertama, malah dia terus meludahkan makanan itu ke dalam longkang. "Oh tidak, saya langsung tak suka. Rasanya seperti ia berbau. Macam mana saya boleh fikir yang tauhu busuk ni rasanya sedap?" ujarnya yang turut membuang makanan itu ke dalam tong sampah. Video reviu jujur yang dikongsi menerusi Facebook miliknya turut dibanjiri dengan pelbagai komen netizen. Selain terhibur melihat reaksinya, netizen turut memberi cadangan agar Philip mencuba makanan lain di Malaysia. "Adakah rasanya teruk? Saya ragu-ragu sebab nampak orang beratur panjang di gerai. "Saya orang Malaysia. Tapi tauhu bukan kegemaran saya. Tak semua orang boleh terima rasa dan baunya. "Hahaha ini kali pertama saya tengok awak buang makanan," tulis beberapa netizen. Untuk rekod, Philip memiliki 5.6 juta pengikut di Facebook dan kerap berkongsi video pengembaraannya di pelbagai negara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube