PENGGUNA media sosial pasti masih ingat tentang insiden seorang kanak-kanak mencalarkan kereta di parkir bawah flat selain mengambil dan membuang penyepit pakaian milik jiran di Pasir Gudang, Johor yang tular pada Februari lalu. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kes berkenaan sudahpun diselesaikan dengan baik atas persetujuan semua pihak yang terlibat. “Kami mendapat tahu kejadian itu sebenarnya berlaku kira-kira jam 2 petang pada 17 Februari dan ia hanya berlaku sekali itu sahaja. “Kanak-kanak itu di bawah jagaan neneknya yang berusia 57 tahun. “Selepas kejadian, wanita itu berjumpa dengan pemilik kereta dan memohon maaf bagi pihak gadis itu dan mereka menyelesaikan perkara itu secara baik setelah mengambil kira usia gadis itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. Pada Februari lalu video berdurasi 64 saat menunjukkan kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun tular di TikTok kerana didapati merosakkan harta benda di sebuah blok rumah pangsa di Taman Cendana, Pasir Gudang. Dalam pada itu, Sohaimi menasihatkan orang ramai supaya memantau anak-anak dan mendidik mereka dengan baik supaya tidak terlibat dalam perbuatan negatif. Beliau juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu kerana ia telah diselesaikan. - THE STAR Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube