suria

Penuntut universiti maut terjatuh pangsapuri selepas datang pujuk kekasih cemburu

Memanjat tembok koridor bangunan tanpa sebarang alat keselamatan boleh membahayakan nyawa sendiri. - Gambar hiasan

SEORANG penuntut lelaki sebuah universiti di Melaka maut dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Bukit Beruang, Melaka dalam kejadian 2.50 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penuntut berusia 20 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian selepas terjatuh dari tingkat enam Blok C pangsapuri 18 tingkat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa datang untuk bertemu teman wanitanya berusia 20 tahun yang juga penuntut universiti sama di tingkat enam pangsapuri berkenaan sekitar jam 2 pagi.

"Si mati datang selepas teman wanita itu dikatakan tidak membalas mesej dihantarnya.

"Mereka dikatakan bertemu di koridor sebelum si mati meminta maaf kerana membuatkan kekasihnya itu cemburu kepadanya dan wanita itu memaafkannya.

"Namun ketika wanita itu masuk ke dalam rumah tiba-tiba si mati dikatakan memanjat tembok koridor itu setinggi kira-kira empat kaki," katanya memetik laporan BH Online.

Christopher berkata, wanita itu menyangkakan teman lelakinya hanya bergurau namun terkejut apabila melihat dia berpaut pada tembok dengan kedua-dua kaki berada di luar.

"Dia cuba menyelamatkan kekasihnya itu, namun hanya dapat mencapai sebahagian tangan si mati kerana tembok tinggi menyebabkannya terjatuh.

"Wanita itu kemudian segera menghubungi rakan sebilik kekasihnya untuk meminta bantuan," katanya.

Beliau berkata, siasatan pihak forensik mengesahkan tiada unsur jenayah dan khianat dalam kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain