suria

BF tidur ketika memandu, influencer tayang kereta mewah bergerak dalam mod auto-pilot... ini jawab PDRM

Gatita dikecam kerana didakwa membiarkan teman lelakinya memandu kereta dalam mod auto-pilot.

MODEL dan influencer, Gatita Yan teruk dikecam netizen selepas dia memuat naik video di Instagram Story, memaparkan teman lelakinya sedang tidur ketika memandu sebuah kereta mewah, baru-baru ini.

Dalam video berkenaan, teman lelakinya yang duduk di kerusi pemandu dilihat tidak memegang stereng kereta sehingga ia menimbulkan kegusaran mengenai keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Dalam perkongsian itu, Gatita memaklumkan kereta tersebut diletakkan dalam mode pemanduan sendiri (auto-pilot), membolehkan ia terus bergerak di atas jalan raya tanpa kawalan pemandu.

Video perjalanan ke Ipoh itu bagaimanapun telah dipadam selepas Gatita menerima kecaman netizen, namun tangkap layar posting berkenaan telah disebarkan menerusi media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan Singapura masuk Malaysia, pandu Tesla secara auto-pilot... polis buka kertas siasatan

Dalam pada itu, Sin Chew melaporkan, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan berkata pihaknya akan mengarahkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik untuk menahan pasangan itu sekiranya mereka ditemui di Ipoh.

Ketika ditanya sama ada kereta auto-pilot diharamkan di jalan raya di Malaysia, Yusri berkata beliau akan menyemak terlebih dahulu dengan polis trafik untuk memahami lebih lanjut keadaan itu.

Untuk rekod, situasi seperti ini bukanlah pertama kali berlaku di Malaysia.

Pada April tahun lalu, mStar pernah melaporkan kisah pasangan dari Singapura yang memandu sebuah Tesla dalam pemanduan auto-pilot ketika mereka berkunjung ke Pulau Pinang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain