KISAH seorang wanita berusia 83 tahun yang meninggal dunia serta suaminya yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas memakan ikan buntal kecoh diperkatakan netizen. Menurut anak perempuan mereka, Ng Ai Lee, 51, ibu bapanya tidak menyedari bahawa ikan yang dibeli daripada seorang penjual itu merupakan ikan yang mengandungi toksin maut. Tambah wanita itu, bapanya yang berusia 84 tahun membeli ikan itu pada Sabtu lalu kerana hanya tinggal beberapa pilihan sahaja. Walaupun tidak pernah mendengar tentang ikan buntal, bapanya terus membelinya daripada penjual ikan yang mengunjungi kampung mereka di Kampung Chamek, Kluang, Johor, setiap minggu dengan menaiki van. "Ibu bapa saya sudah bertahun-tahun membeli ikan daripada penjual ikan yang sama, jadi ayah saya tidak fikir dua kali mengenainya. "Dia tidak tahu yang dia membeli ikan yang boleh membahayakan nyawa mereka," katanya kepada The Star. Ibunya, Lim Siew Guan, menggoreng ikan untuk makan tengah hari pada hari yang sama dan mula mengalami kesukaran bernafas serta menggigil manakala bapanya mula menunjukkan simptom yang sama kira-kira sejam kemudian. Ng berkata, abangnya yang tinggal dalam kampung yang sama terus membawa mangsa ke hospital. ARTIKEL BERKAITAN: Tiba-tiba menggigil, sesak nafas... Warga emas dari Johor maut makan ikan buntal, suami dalam ICU "Saya dan abang saya yang lain tinggal di Kuala Lumpur. Selepas mengetahui kejadian itu, kami memutuskan untuk bergegas pulang ke Kluang untuk berjumpa ibu bapa kami. "Malangnya, kami belum sampai separuh perjalanan apabila abang sulung memaklumkan ibu meninggal dunia petang itu. "Saya sangat sedih. Kesakitan dan emosi yang saya rasakan ketika itu tidak dapat digambarkan kerana ia terlalu tidak dijangka," ujarnya. Tambah Ng, dia kali terakhir bertemu ibu bapanya ketika sambutan Tahun Baharu Cina dan merancang untuk pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri tidak lama lagi. "Kali terakhir saya berjumpa ibu ketika mereka datang ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama saya selama seminggu selepas sambutan Tahun Baharu Cina. "Saya bercadang untuk pulang ke kampung untuk berjumpa mereka bulan depan semasa cuti Hari Raya Aidilfitri," kata Ng, yang merupakan ketua pegawai kewangan sebuah syarikat swasta di ibu negara. Punca kematian ibunya dikenal pasti sebagai keracunan makanan, mengakibatkan kegagalan pernafasan dan degupan jantung yang tidak teratur, mungkin disebabkan oleh pengambilan toksin daripada ikan tersebut. Dia dikebumikan di tanah perkuburan Cina Chamek pada Rabu. Ng berkata bapanya masih koma di ICU dan pihak hospital sedang berusaha untuk merawat jangkitan dalam badannya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube