suria

Polis buru lelaki lari menghilangkan diri selepas tetak 2 mangsa

Warga tempatan yang ditetak mengalami cedera parah.

TULAR sebuah video di media sosial menunjukkan insiden pergaduhan yang berlaku di Jalan Mutiara Raya, Cheras.

Dalam kejadian itu seorang lelaki tempatan disyaki menetak dua lelaki dan dia kini diburu pihak polis setelah berjaya menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata suspek berusia 45 tahun itu bergaduh dengan dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun itu kerana mengganggu isterinya pada Jumaat.

"Anggota Ronda Cegah Jenayah dari Balai Polis Cheras yang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima maklumat pada jam 4 pagi dari orang awam mendapati terdapat kejadian pergaduhan dan tetak membabitkan dua lelaki tempatan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua mangsa yang ditetak mengalami cedera parah," katanya.

Menurut Zam Halim, bertindak atas maklumat yang diperoleh, Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, menahan seorang wanita tempatan berusia 39 tahun di kawasan perumahan Taman Seri Aman, Cheras, Selangor.

"Tangkapan ke atas wanita ini dilakukan susulan dia berkemungkinan bersubahat dengan suspek utama kes ini disebabkan dia berada bersama suspek di lokasi semasa kejadian berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihak polis meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

Bagi mereka yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051 atau datang ke mana-mana Balai Polis berdekatan. -BH Online

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain