NAMA pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat negara kita. Pada Khamis, nama Ustaz Wadi sekali lagi menjadi perhatian ramai apabila dia didakwa menyampaikan ceramah tanpa tauliah di negeri Perlis. Terbaharu, Ustaz Wadi tampil memberi penjelasan menerusi media sosial bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung isu berkenaan. Jelasnya, acara dihadirinya di Kampung Padi Machang, Kangar, pada Khamis bukanlah majlis pengajian agama, sebaliknya acara santai bersama masyarakat setempat sahaja. "Pada 30 Mac 2023 jam lebih kurang 9.45 malam, saya mengadiri program di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar. Saya dimaklumkan penganjur ini bukan majlis pengajian agama dan hanya sembang santai bersama masyarakat. "Majlis ini melibatkan beberapa soalan berkaitan perkembangan agensi bukan kerajaan (NGO) kelolaan saya, keadaan terkini ibadah di Makkah dan Madinah dan beberapa kupasan isu semasa. "Maka saya menerima jemputan yang diadakan di premis persendirian itu serta tidak memerlukan tauliah agama negeri," jawabnya dalam satu kenyataan pada tengah hari Sabtu. ARTIKEL BERKAITAN: Tersalah sebut ‘sembah syaitan’ ketika ulas perarakan Thaipusam, ustaz Wadi Annuar mohon maaf kepada penganut Hindu Jelas Ustaz Wadi lagi, dia juga tidak pernah dipelawa untuk permohonan tauliah dan belum bertemu dengan pihak Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs). "Saya tidak pernah dipelawa permohonan tauliah melalui perjumpaan dengan Exco Agama Islam Negeri Perlis seperti yang dinyatakan dalam sebahagian laporan akhbar. "Dan saya juga belum pernah mengadakan perjumpaan bersama JAIPs sebelum ini seperti yang didakwa sesetengah pihak," jelasnya lagi. Berkongsi lanjut, Ustaz Wadi mengakui ada menerima surat perintah hadir siasatan daripada JAIPs, namun memohon ditunda ke tarikh lain kerana kekangan masa serta jadual program melibatkan dirinya. "Pada 29 Mac 2023 saya menerima surat perintah hadir siasatan oleh JAIPs bertarikh 7 April 2023. Kerana kekangan masa dan jadual program yang padat, maka saya sendiri memohon untuk ubah tarikh hadir siasatan pada 17 April 2023 dan diterima oleh pihak berkenaan. "Saya juga menjunjung perintah Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan tidak pernah mempersendakan peraturan oleh DYMM Raja Perlis. "Semoga kenyataan balas ini dapat menjawab kekeliruan yang timbul pada malam tersebut dan memperbetulkan semula persepsi negatif yang dilemparkan terhadap saya oleh pihak tidak bertanggungjawab," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube