suria

Ramai nak senang parkir tepi jalan... bas MRT yang susah tersangkut tak boleh lalu, lambat ambil penumpang

Bas pengantara MRT terhimpit dan tersekat di antara dua kereta diparkir di bahu jalan.

TULAR sebuah video di Twitter menunjukkan dua bas pengantara MRT tersangkut di jalan berhampiran Stesen MRT Cyberjaya City Centre.

Video berdurasi 49 saat itu dimuat naik oleh @Twt_Cyberjaya menunjukkan dua buah bas sama itu tersekat disebabkan kenderaan yang diparkir secara haram di kiri-kanan bahu jalan laluan tersebut.

Sebagaimana dapat dilihat dalam video, pengadu yang dipercayai penumpang bas meluahkan rasa kesal dan bengang dengan sikap sesetengah orang awam yang masih pentingkan diri sendiri.

“Kereta-kereta tak ada 'otak'. Ni bukan tempat parking eh. Habis semua sangkut bas nak lalu pun tak boleh.

"Ikutkan hati nak suruh bas sodok (langgar) je. Orang lain pun nak balik ni terpaksa sangkut,” katanya.

Ketika lelaki itu bercakap dalam video, kelihatan dengan jelas bas itu tidak muat untuk lalu di laluan yang sempit disebabkan kereta Toyota Hilux dan Perodua Myvi diletakkan di kiri dan kanan jalan.

Sebuah lagi bas pengantara MRT di bahagian belakang turut tersangkut, sekali gus mengganggu jadual bas yang ditetapkan untuk mengambil penumpang di kawasan itu.

Komen netizen di Twitter.

Dalam video sama, lelaki itu kemudian menunjukkan kejadian itu dari sudut berbeza, menyaksikan seluruh jalan dipenuhi kenderaan di bahagian tepi.

Situasi itu turut mengundang kemarahan netizen di Twitter yang membuat luahan dan memberikan pendapat.

"Sagat saja bang! Ambil nombor plat kereta lepas tu buat tuntutan dekat insurans kereta. Buat laporan polis dulu.

"Buatlah parkir macam mana pun tepi jalan juga nak parkir. Kalau boleh depan tren tu dia nak parkir sebab malas berjalan.

"Dua-dua kereta tak parkir tepi (jalan) betul-betul. Aduh. Kalau ya sekali pun nak parkir tepi jalan pastikan tayar betul-betul dekat tepi," ujar netizen.

Masalah ini mula timbul apabila laluan MRT Putrajaya mula beroperasi, yang memberi kemudahan kepada penduduk di Putrajaya dan bandar berdekatan menggunakan pengangkutan awam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain