suria

Budak ‘kontena’ temui ajal di kolam

Ratul ditemukan mati lemas ketika mandi seorang diri di sebuah kolam. foto UNB

REMAJA lelaki warga Bangladesh berusia 14 tahun yang dihantar pulang selepas datang ke Malaysia menerusi kontena perkapalan kira-kira tiga bulan lalu, ditemukan lemas di kolam berhampiran rumahnya.

Ratul Islam Fahim, yang berasal dari Monoharganj, di daerah Cumilla, Bangladesh, dikatakan lemas ketika mandi seorang diri di kolam berkenaan pada Sabtu, lapor The Daily Star.

Bapanya, Faruq Miah memaklumkan bahawa Ratul mengalami masalah mental.

"Ratul ditemukan lemas ketika mandi seorang diri, kira-kira pukul 2.30 petang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Terperangkap lebih 5 hari, budak ditemui dalam kontena akan dihantar pulang

Pengerusi majlis kesatuan tempatan, Ashikur Rahman Hiron berkata, Ratul lemas ketika mandi bersendirian di kolam kerana tidak tahu berenang.

Tahun lalu, kisah Ratul menjadi perhatian apabila hilang sejak 13 November sebelum ditemukan dalam sebuah kontena di sebiah kapal di Pelabuhan Klang pada 17 Januari.

Kapal dari pelabuhan Chittagong di Bangladesh itu tiba ke Malaysia, pada 12 Januari.

Pada 16 Januari, seorang kakitangan terdengar bunyi ketukan dari dalam kontena dan melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa pelabuhan.

Pada 17 Januari, kapal itu dibawa ke pelabuhan sebelum kontena dibuka dan Ratul berjaya diselamatkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, remaja berkenaan ditemui dalam keadaan lemah pada 17 Januari.

Berdasarkan siasatan, Saifuddin berkata, tiada unsur pemerdagangan manusia dalam kes tersebut.

Ratul kemudian dihantar pulang pada 21 Februari lalu. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain