suria

Bukan kecemasan kesihatan antarabangsa... Langkah perlindungan terkini Covid-19 dibincang KKM

WHO menyatakan Covid-19 bukan lagi kerisauan antarabangsa.

LANGKAH perlindungan terkini akan dibincangkan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memutuskan Covid-19 bukan lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa.

Menurut Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat dan dalam tempoh tersebut, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada diteruskan seperti biasa.

"Buat sementara ini Kementerian Kesihatan akan meneruskan langkah perlindungan kawalan atau SOP sedia ada sehinggalah kita membuat keputusan muktamad sama ada untuk mengikut saranan WHO atau sebaliknya.

"Perbincangan di peringkat tertinggi KKM juga sedang dilakukan bagi mempertimbangkan perkara tersebut," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Sekijang 2023 di Dewan Masjid Bandar IOI, Johor pada 6 April.

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata meskipun jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan baru-baru ini meningkat, ia masih terkawal dan tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dengan majoriti pesakit dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti individu dengan komorbid dan warga emas.

Justeru, Dr Zaliha menasihatkan orang ramai untuk terus mengamalkan SOP dan keselamatan kendiri termasuk memakai pelitup muka jika perlu terutamanya bagi mereka yang bergejala, selain terus menjaga kebersihan diri.

Terdahulu, agensi berita Jerman dpa melaporkan WHO pada Jumaat memutuskan pandemik Covid-19 global tidak lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa selepas dunia dilanda pandemik sejak tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, pengumuman itu tidak mempunyai kesan konkrit susulan setiap negara perlu memutuskan sendiri langkah perlindungan yang akan dikenakan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Covid-19, WHO, langkah keselamatan, SOP,

Artikel Lain