CUACA panas melampau di Malaysia terus meragut nyawa. Insiden kali ini melibatkan pekerja penyelenggaraan berusia 52 tahun yang meninggal dunia ketika bertugas di Jalan Paradom, Sibu, Sarawak pada Ahad, dipercayai berpunca daripada strok haba. Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata polis menerima laporan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia pada pukul 3.15 petang mengenai seorang pekerja syarikat utiliti yang pengsan di dalam hutan. “Sebelum kejadian, mangsa bersama beberapa rakan sekerja sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pencawang elektrik. "Salah seorang rakannya memberitahu cuaca ketika itu sangat panas. Jadi mangsa pergi menyejukkan diri di dalam sungai berhampiran,” tambahnya. ARTIKEL BERKAITAN: Lagi kanak-kanak di Kelantan maut akibat strok haba... Anak tunggal seminggu batuk dan muntah, rupanya paru-paru kecut Namun begitu, dia dilaporkan pengsan tidak lama selepas itu. Paramedik dari hospital mengesahkan dia meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 4.59 petang. Menurut rakan sekerja mangsa, Hishammudin Abdul Rani, kedua-dua mereka telah memanjat menara setinggi 30 meter untuk membuang najis burung kira-kira pukul 12:15 tengah hari. “Cuaca sangat panas dan kami turun dari menara untuk berehat selama kira-kira 15 minit. Mangsa memberitahu saya dia berasa sangat panas dan mahu membasahkan badannya di sungai berhampiran. "Saya menasihatinya supaya tidak berbuat demikian tetapi dia berkeras,” katanya. Mangsa dikenali sebagai Mohammad Sabeli. Apabila selesai, mangsa memberitahu Hishammudin bahawa dia berasa pening dan mahu pitam. “Dia meminta saya mengurut badannya untuk menghilangkan rasa panas di badannya. Bagaimanapun beberapa minit kemudian, dia pengsan,” ujar Rani. ACP Zulkipli berkata kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube