suria

Anwar tetap pendirian tak benarkan pengeluaran KWSP, tahu bukan langkah popular dalam politik

Anwar tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan pengeluaran KWSP. -foto Kamarul Ariffin/THE STAR

PUTRAJAYA teguh dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan sekali lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu kekal meskipun perkara tersebut akan dijadikan sebagai polemik politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Bila ada desakan politik yang kuat untuk pengeluaran KWSP, saya mengambil keputusan yang tidak terlalu popular iaitu untuk tidak lagi membenarkan pengeluaran KWSP.

"Ini kerana tugas dan janji ikrar orang yang mencarum itu adalah untuk masa hadapan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencarum KWSP boleh buat pinjam bank bermula 7 April, kadar faedah lebih rendah

"Ia dibenarkan dikeluarkan sebelum ini berikutan wabak Covid-19," katanya semasa Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu KWSP di Kwasa Damansara pada Isnin.

Menurut Anwar, keadaan sekarang adalah berbeza dan rakyat Malaysia dibenarkan untuk kembali bekerja.

"Sesetengah orang mungkin ada masalah yang mereka sedang hadapi dan pengeluaran KWSP bukan satu-satunya jalan keluar," kata Anwar.

Sementara itu, Anwar juga menggesa KWSP untuk meningkatkan pelaburan dalam negara dari 64 peratus yang dicatatkan pada tahun lalu kepada 70 peratus.

Anwar berkata, perkara ini adalah perlu demi manfaat pencarum KWSP.

"Saya lihat KWSP pelaburan tinggi sehingga 64 peratus dalam negara. Saya menekankan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan agar meningkatkannya kepada 70 peratus.

"Ia untuk keperluan negara sekarang dan ambil kira keperluan rakyat," tambah Anwar. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain