suria

Sanggup korban kereta mewah kejar peragut, ramai puji ‘abang Mercedes’ - “Tak kan saya saja nak langgar!”

Video tular memaparkan sebuah kereta mewah melanggar motosikal milik lelaki dipercayai peragut.

TIDAK menghiraukan kerugian yang mungkin bakal ditanggung akibat kerosakan yang dialami, seorang pemandu kereta mewah sanggup 'mengorbankan' keretanya demi mengejar seorang peragut.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter @jllmisai pada Khamis, kelihatan motosikal milik peragut berkenaan terperosok di bawah 'bumper' kereta model Mercedes berwarna hitam selepas adegan kejar mengejar berakhir.

"Berani betul pemandu Mercedes tu kejar dan langgar motosikal peragut ni," demikian keterangan yang ditulis, mengiringi video berkenaan.

Sementara itu seorang lelaki yang memakai jaket berwarna biru dan hitam dipercayai suspek, kelihatan melutut di bahu jalan dengan wajah yang cuak dan hampir menangis.

Dia dikelilingi orang awam dan beberapa anggota polis trafik.

Dalam video berdurasi 15 saat itu, turut kedengaran suara seorang lelaki yang dipercayai pemilik kenderaan mewah berkenaan menjelaskan situasi yang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Muka bersih, tubuh sihat sayangnya penjenayah! 2 lelaki gagal ragut gadis baju kelawar, rider Grab jadi hero sanggup korbankan motor cari rezeki

"Nak samun sangat, tak kan la saya saja nak langgar," kata lelaki berkenaan.

Dia turut menunjukkan ke arah dua wanita yang bertopi keledar dan berdiri di tepi jalan, dipercayai mangsa ragut.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di Pulau Pinang.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 1,380 ulang kicau (retweet) di Twitter.

Menjengah komen warga maya, rata-ratanya memuji tindakan pemandu kereta mewah itu yang masih prihatin dengan keselamatan orang awam berbanding diri dan harta sendiri.

"Semoga pemilik Merc tu diberkati segala hartanya dan diberi lebih banyak kemudahan dalam hidup.

"Siapa owner Merc tu... salute!

"Pengajaran untuk orang-orang yang tak ada akal. Thank you abang Mercedes," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain