suria

Kerajaan peruntuk RM1.48 juta bantu usaha kesan Muhammad Hawari

Operasi SAR Hawari diperluas ke Tibet.

KERAJAAN memperuntukkan RM1.48 juta bagi usaha mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Muhammad Hawari Hashim yang hilang di Gunung Everest, kata Kementerian Belia dan Sukan.

"Dana itu adalah daripada kerajaan kerana SAR dikendalikan oleh kerajaan Malaysia, termasuk Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar.

"Ini adalah anggaran kos SAR dan kita perlu bertindak cepat memandangkan ada tempoh sehingga 28 Mei untuk operasi," kata Ketua Setiausaha kementerian Dr K. Nagulendran pada sidang media di bangunan Parlimen pada 24 Me.

Tambah beliau, dana itu akan digunakan, antara lain, untuk mengupah enam sherpa serta helikopter.

"Kami menghantar sherpa profesional hanya untuk SAR," tambah Dr Nagulendran.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar, Datuk Mohammad Ali Selamat berkata, pegawai Malaysia di Kathmandu telah memberitahu bahawa kawasan pencarian telah diperluaskan.

"Pencarian telah diperluaskan termasuk kawasan bukan sahaja di Nepal tetapi juga di Tibet. Ia kini termasuk laluan kembara bermula dari wilayah Tibet," katanya.

Ketua misi ekspedisi Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor, yang hadir pada sidang media itu, berkata pencarian lebih mencabar kerana mangsa pekak.

"Para penyelamat tidak dapat menjerit dan didengari olehnya. Mereka perlu bergantung pada penglihatan dan ia lebih sukar pada waktu malam," tambahnya.

Pada Jumaat, Muhammad Hawari, peserta misi Malaysia Everest 2023, dilaporkan hilang.

Pada hari yang sama, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, meninggal dunia ketika mendaki ke puncak. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain