suria

Penumpang dedah kru kabin, kapten tak 'mesra bayi'... MYAirline mohon maaf, akan perbaiki mutu servis

MYAirlines mohon maaf kepada penumpangnya.

SYARIKAT penerbangan tambang rendah baharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) membuat permohonan maaf terhadap salah seorang penumpangnya yang mendakwa menerima layanan kurang memuaskan baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, MYAirline berkata, ia susulan insiden pemakaian tali pinggang keledar untuk bayi yang berlaku dalam pesawatnya.

"Kami kesal dan ingin memohon maaf kepada salah seorang penumpang kami yang telah menaiki penerbangan tersebut atas pengalaman beliau yang kurang memuaskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Malu dalam pesawat! Anak meronta di kerusi, ketua kabin enggan beri infant belt... kapten buat pengumuman halau keluar

"Mengikut polisi, kami menyediakan tali pinggang keselamatan tambahan untuk bayi sejajar dengan keperluan keselamatan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM)," katanya.

Berdasarkan garis panduan CAAM, wajib bagi kanak-kanak berumur 24 bulan dan ke bawah untuk dipangku oleh penjaga dan memakai tali pinggang keselamatan tambahan.

Manakala, kanak-kanak berumur 24 bulan dan ke atas harus memakai tali pinggang keselamatan di tempat duduk mereka atas tujuan keselamatan.

Justeru, MYAirline menyatakan pihaknya sedia menyiasat perkara untuk mengenal pasti jurang dalam perkhidmatan dan membuat tindakan pembetulan yang sepatutnya agar situasi sebegini tidak berulang di masa akan datang.

"Di MYAirline, pengalaman anda adalah keutamaan kami. Kami mengutamakan keselesaan dan kepuasan setiap penumpang kami, khususnya bagi ibu, bapa dan penjaga yang melancong bersama kanak-kanak.

"Susulan daripada penyiasatan sedang dijalankan, kami komited untuk belajar daripada pengalaman ini untuk perbaiki lagi mutu perkhidmatan dan memastikan pelancongan yang positif untuk semua penumpang," katanya.

Terdahulu, seorang penumpang yang menaiki pesawatnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendedahkan situasi yang dialami semasa dalam pesawat.

Dakwanya, kru kabin tidak memberi kerjasama terhadapnya yang mempunyai anak berusia 2 tahun 5 hari meskipun sudah meminta supaya diberikan tali pinggang tambahan bagi membolehkan anaknya duduk di pangkuan ibu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain