suria

Tiada hati perut! Pemilik ladang durian rantai, seret anjing belakang kereta - “Kaki berdarah, batu kerikil sagat dada”

Penternak terkejut menemukan anjing cedera parah angkara perbuatan kejam.

SEORANG pemilik ladang ayam tergamam ketika sedang minum petang di halaman rumahnya apabila menemukan sesuatu yang cukup mengerikan.

Dalam kejadian pada Sabtu, Rajes Danarow melihat seorang lelaki dari kawasan kejiranannya sedang memandu sebuah kereta lama sambil seekor anjing dirantai pada bahagian belakang kenderaan.

Rajes mengatakan individu itu memiliki sebuah ladang durian dan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan landskap.

"Tapak kaki anjing itu sudah berdarah dan anjing berkenaan sudah dalam keadaan nyawa-nyawa ikan kerana tidak lagi memberikan sebarang respons.

"Batu kerikil di jalan menyagat dada anjing tersebut ketika lelaki itu memandu keretanya" kata Rajes yang menetap di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson.

ARTIKEL BERKAITAN: Cabaran... rider diminta buat ‘kerja tambahan’ bagi anjing pelanggan makan - “Saya dah la tengah puasa ni”

Rajes cuba mengejar pemandu itu menggunakan motosikal dan memberikan isyarat untuk memintanya memberhentikan kenderaan tetapi tidak dihiraukan.

"Kemudian saya memotong ke hadapan kereta itu dan menghalangnya, saya tarik keluar kunci kereta.

"Saya tanya dia kenapa tarik anjing tersebut dengan cara yang sebegitu kejam, kenapa tak guna lori atau kereta pacuan empat roda," kata Rajes.

Anjing sepatutnya dijaga dengan kasih sayang dan bukannya didera. -Gambar hiasan

Lelaki itu kemudiannya menjawab bahawa dia sedang memindahkan anjing berkenaan dari satu ladang ke ladangnya yang lain, berjarak kira-kira dua kilometer (km).

Anjing itu dikatakan degil dan tidak mahu masuk ke dalam kenderaan untuk dibawa pergi.

Namun begitu, menurut Rajes, ketika dia membuka rantai anjing terbabit, haiwan tersebut yang sedang berlumuran darah terus melompat masuk ke dalam kereta.

Rajes tanpa membuang masa terus menghubungi polis, mereka yang lalu-lalang juga mengerumuni lelaki itu dan anjingnya yang cedera parah.

Pegawai polis yang tiba di tempat kejadian menasihatkan Rajes dan pemilik anjing tersebut untuk membuat laporan polis.

"Saya juga diminta untuk membawa perkara ini ke perhatian Jabatan Perkhidmatan Verterinar," kata Rajes.

Rajes berkata, dia percaya anjing itu mungkin mati akibat kecederaannya memandangkan ia mengalami pendarahan yang banyak.

Ketika dihubungi, seorang pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Lukut mengesahkan kedua-dua lelaki itu membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain