suria

Padah buat aksi 'Superman' dan langgar lampu merah, mat rempit maut di tempat kejadian

Penunggang motosikal ini terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya.

SEORANG penuggang motosikal berumur 18 tahun meninggal dunia selepas merempuh sebuah kereta ketika membuat aksi 'Superman' dan melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata insiden berlaku di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu pada pukul 4.30 pagi Ahad.

"Dua kenderaan terlibat dalam insiden itu, sebuah kereta dan sebuah motosikal.

"Penunggang motosikal, Muhammad Akid Mat Rozi, berasal dari Permatang Timbul, Balik Pulau, meninggal di tempat kejadian.

"Berdasarkan siasatan awal, insiden berlaku ketika kereta terbabit dari Bayan Lepas menuju ke Jalan Tengah tiba di persimpangan lampu isyarat di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

"Pemandu kereta membelok ke kanan apabila lampu isyarat bertukar hijau dan kemudiannya dirempuh sebuah motosikal dari arah bertentangan.

"Pemandu kereta mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan kirinya," kata Kamarul dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kamarul berkata ketika kejadian hari sedang hujan.

"Kami sedang menyiasat kes dan memeriksa fungsi lampu isyarat, melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengambil kira cuaca hujan dan keadaan jalan yang basah.

"Saksi di tempat kejadian juga sedang dikenal pasti.

"Bedah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca kematian penunggang motosikal.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu," katanya.

Berdasarkan video tular, mangsa dilihat menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ dalam keadaan berbahaya dengan melakukan aksi ‘Superman’ selain sedang berlumba bersama seorang rakannya.

Ketika kejadian, rakan mangsa nyaris terlibat dalam kemalangan namun sempat mengelak kereta terbabit. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain