suria

Cubaan samun! Pemandu dikejar 3 lelaki menyamar polis, gigih pegang lampu biru ala siren di luar tingkap kereta

Tiga lelaki menyamar polis mengejar sebuah kereta di KM41.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.

BAGAI babak dalam filem aksi.

Begitulah situasi yang berlaku dalam video tular memaparkan dua buah kereta sedang berkejaran di jalan raya.

Menerusi video itu, perakam video yang menaiki sebuah kereta dilihat memecut laju apabila dikejar sebuah lagi kereta berwarna perak.

Tiga lelaki yang berada di dalam kereta itu dilihat memakai 'vest' polis dan turut membawa lampu, persis siren yang digunakan pihak berkuasa.

Difahamkan, kumpulan lelaki dalam kereta tersebut menyamar sebagai polis untuk merompak dan menyamun individu dalam kereta yang sedang dikejar.

Video tular itu turut meraih pelbagai komen netizen termasuklah yang meluahkan rasa takut dengan kejadian berkenaan.

Dalam pada itu ada netizen turut berjenaka tentang lelaki dalam kereta tersebut yang terpaksa memegang lampu di luar tingkap kereta.

"Kalau la orang tak tahu. Mesti takut dan berhenti. Bahayanya.

"Tak penat ke pegang lampu tu?

"Lampu suluh kebun durian mana dia curi tu?

"Lawak pula tengok lampu biru tu. Kena pegang pula tu," ujar beberapa netizen.

2111029

Tangkap layar video tular itu.

Dalam perkembangan terbaharu, polis kini sedang memburu tiga lelaki yang dilihat dalam video tular itu yang berlaku di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kulai, Johor.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Yusof Othman berkata satu laporan dibuat oleh seorang anggota polis pada 1.52 tengah hari Isnin berhubung video berkenaan.

"Video itu dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang mendakwa dia dikejar lelaki yang menyamar sebagai polis ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku di KM41.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, berhampiran plaza tol Sedenak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, suspek cuba menahan mangsa dan berada di dalam kereta yang menggunakan lampu biru berkelip, seperti siren kereta polis.

"Mangsa bagaimanapun tidak membuat sebarang laporan polis berhubung perkara itu.

"Polis sedang mencari pemilik kenderaan yang dilihat dalam video itu,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai di talian 07-663 7222,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain