suria

“Sejahat mana pun kamu, jangan sebut MH370!” - Isteri pramugara dedah anak masih menangis, anggap Jocelyn Chia tiada perasaan

Intan (kiri) meluahkan kekecewaannya mengenai sketsa komedi Jocelyn.

MENJADIKAN tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai bahan jenaka, pelawak kelahiran Singapura mengundang kemarahan ramai terutama rakyat Malaysia.

Antara yang terkesan dengan lawak biadab tersebut adalah salah seorang waris daripada 239 penumpang dan anak kapal MH370.

Isteri pramugara Allahyarham Mohd Hazrin Mohamed Hasnan iaitu Intan Maizura Othaman menyifatkan Jocelyn Chia sebagai seorang yang tidak berhati perut kerana menjadi tragedi MH370 sebagai bahan jenaka.

Menurut Intan, jenaka yang dibawakan Jocelyn bukan sahaja tidak melucukan, malah tiada empati di atas kesedihan orang lain.

Pelawak Singapura dikecam hebat kerana mempersenda Malaysia dalam persembahannya.

"Anak lelaki saya, Muhammad masih lagi menangis sehingga ke hari ini atas kehilangan ayahnya dan kamu menjadikan MH370 ini sebagai bahan jenaka.

"Tahukah kamu berapa ramai ibu yang masih menangis sehingga kini? Kamu tidak tahu kerana tidak mempunyai empati dan perasaan.

"Atau kamu tidak mempunyai keluarga pun. Kalau kamu mempunyai keluarga, saya percaya mereka sudah tentu malu dengan tindakan bodoh kamu ini," demikian luahan Intan menerusi perkongsian video di TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Biadab! Pelawak wanita Singapura hina Malaysia, buat jenaka isu tragedi MH370

ARTIKEL BERKAITAN: "You mungkin tiada, tapi tidak akan dilupakan" - Isteri pramugara MH370 kongsi luahan menyentuh hati, 9 tahun tanggung rindu

Ibu kepada dua cahaya mata itu turut memberitahu, jenaka yang dibawakan Jocelyn sekadar lawak hambar.

"Tidak kira sejahat mana pun kamu, tapi jangan membuat jenaka dengan menyebut MH370,” katanya.

Anak lelaki saya masih lagi menangis sehingga ke hari ini atas kehilangan ayahnya dan kamu jadikan MH370 sebagai bahan jenaka.

INTAN MAIZURA OTHAMAN

ISTERI PRAMUGARA MH370

Tambah Intan lagi, pelawak itu tidak seharusnya menggunakan lawak sedemikian untuk meraih populariti.

"Mempunyai hati dan menetap di negara sedang membangun lebih baik daripada kamu yang duduk di negara maju tetapi menjadi manusia yang keji," ujarnya.

Jocelyn menjadikan tragedi kehilangan MH370 sebagai bahan sketsa komedinya.

Intan turut menggesa semua pihak agar menghentikan normalisasi perkara seumpama itu dan menjadi masyarakat lebih peka dengan sensitiviti.

Menerusi satu video yang tular di media sosial, Jocelyn beberapa kali dengan sengaja mempersenda Malaysia dalam sketsa komedinya.

Ia selepas pelawak itu meminta salah seorang penontonnya memperkenalkan diri dan dari mana, dan dia kemudian membuat muka jelik apabila penonton itu menjawab dari Malaysia.

Selain menjadikan tragedi kehilangan MH370 sebagai bahan jenaka, pelawak itu turut menyifatkan pembangunan Malaysia jauh ketinggalan berbanding Singapura bergelar negara maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain