MENJELANG hari perkahwinan, bakal pengantin pastinya yang paling sibuk dengan 1,001 perkara bagi memastikan kelancaran majlis. Selain mahu menampilkan kelainan, ada yang ingin memastikan momen raja sehari itu meninggalkan nostalgia teristimewa buat pasangan masing-masing. Jika kebiasaannya barangan kemas yang menjadi tumpuan di dulang hantaran, namun lain pula yang dilakukan seorang pengantin lelaki ini. Bukan biasa-biasa, bagi Muhammad Faiz Md Hashim yang berasal dari Pulau Pinang, dia memilih ‘Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah’(SKSSR) sebagai hantaran kahwin. Faiz dan Nad mendirikan rumah tangga pada 10 Jun 2023. Mesra disapa Faiz, dia mengakui isterinya, Nur Nadiah Mohamad Ridzuan pada mulanya agak terkejut dengan helaian kertas dijadikan sebagai hantaran. Namun selepas diberi penjelasan secara terperinci selama hampir setengah jam, pengantin perempuan dengan panggilan manja Nad akhirnya bersetuju. “Duit bukan segalanya atau menjadi pengukur utama cinta kepada Nad, tetapi jika musibah menimpa... duit akan menjadi ujian tegar buat kami. “Sebab itu kedua-dua orang tua kami bersetuju dengan cadangan hantaran yang berbaki seminggu sebelum majlis diadakan. Alhamdulillah mereka memahami manfaat daripada skim tersebut juga,” ujarnya yang menyulam cinta selama dua tahun bersama Nad yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Bercerita lanjut, anak kedua daripada tiga beradik itu memberitahu, dia memilih ‘cinta suri’ sebagai hantaran kerana tiga sebab utama iaitu agama, sayang dan masa depan isteri tercinta. Apatah lagi katanya, ia sejajar dengan saranan syariat untuk melindungi nyawa. “Dengan manfaat daripada caruman skim itu, perubatan dan ilat Nad akan terpelihara. Ia juga menjadi asas untuk saya sentiasa mengambil berat segala-galanya tentang isteri. “Segala penat lelah dan sakitnya tidak harus dibiar tanpa pengiktirafan tertinggi. Kalau bukan daripada suami, siapa lagi?” kata Faiz lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Perkeso lancar skim perlindungan khas untuk suri rumah... ini 10 perkara anda perlu tahu tentang SKSSR Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah atau SKSSR yang diperkenalkan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyediakan perlindungan bencana domestik dan perlindungan keilatan kepada golongan suri rumah. Ia memberi perlindungan kepada suri rumah menerusi faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat. Semua suri rumah berusia bawah 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, serta berkahwin atau bujang, layak untuk menyertai skim itu, dengan caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan, yang dibayar secara lebih awal. Mendirikan rumah tangga pada 10 Jun, Faiz turut menjadikan pepatah ‘sediakan payung sebelum hujan’ sebagai sandaran kerana mahu membuat persediaan awal untuk kemudian hari, terutama sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka. "Mungkin segelintir jejaka berusaha memberikan 'payung emas' kepada pasangan mereka, namun bagi saya, cukuplah payung tidak bersalut kilauan kuning tetapi mampu melindungi perjalanan hidup kami suami isteri," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube