suria

Terima lebih 10 tawaran sambung belajar, biasiswa... Pelajar raih 11A SPM mahu solat istikharah, bincang dengan keluarga

Muhammad Syahril meraih 11A dalam SPM baru-baru ini.

REZEKI yang tidak disangka-sangka!

Pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tular kerana menjaga ibu sakit, Muhammad Syahril Saidi, menerima lebih 10 tawaran untuk melanjutkan pelajaran termasuk biasiswa.

Menzahirkan penghargaan di atas keprihatinan pelbagai pihak, Muhammad Syahril berkata, dia mahu berbincang dengan ahli keluarga serta melakukan solat istikharah terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang keputusan.

Antara tawaran untuk menyambung pengajian serta biasiswa yang diterimanya adalah daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), kerajaan negeri dan universiti awam.

ARTIKEL BERKAITAN: Sempat berkongsi kegembiraan cemerlang SPM, ibu kepada pelajar raih 11A meninggal dunia

Memetik laporan Harian Metro, Muhammad Syahril memaklumkan setakat ini dia mahu meneruskan pengajian di Maahad Yaakubiah Kampung Nipah, Bachok, Kelantan, untuk menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi mencapai cita-cita menjadi seorang pensyarah.

Terdahulu, kisah Muhammad Syahril tular selepas pengorbanan pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang itu menjaga ibu yang sakit namun berjaya memperoleh keputusan semua A dalam SPM yang diumumkan, pada Khamis lalu.

Tular video memaparkan beberapa guru menghantar keputusan peperiksaan ke rumah Muhammad Syahril selepas dia tidak hadir mengambil keputusan itu kerana menjaga ibunya yang tidak sihat kerana menderita angin ahmar sejak 2019.

Anak bongsu daripada enam beradik itu mendapat A untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sains, Syariah, Usuluddin, Manahu al-Ulum Al Islamiah dan Al Adab Wal Al-Balaghah, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Syariah dan Al-Lughah Al Arabiah Al-Muasirah.

Sempat berkongsi kegembiraan di atas keputusannya itu, namun ibu remaja tersebut, Tuan Faridah Tuan Ismail, 53, menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain