SUDAH menjadi rutin tahunan, individu yang mempunyai pendapatan dan layak dikenakan cukai perlu membuat e-filing atau mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL). Cukai pendapatan bukan sahaja dapat membantu pembangunan negara dilaksanakan dengan lebih lancar, malah ia dapat membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka yang kehilangan punca pendapatan secara tiba-tiba. Pendek kata, cukai pendapatan bukan sahaja amalan berkongsi rezeki, tetapi juga menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dan melaporkan pendapatan tahunan. ARTIKEL BERKAITAN: Jadilah rakyat bijak... Jom Klik HASiL, anda lapor dan bayar cukai pendapatan kemudian dapat bayaran balik! Pengenaan cukai pendapatan bagi pendapatan penggajian dapat ditentukan dengan mudah sekiranya seseorang itu mempunyai Potongan Cukai Bulanan atau PCB yang dipotong oleh majikan melalui gaji yang diterima setiap bulan. Tetapi bagaimana pula untuk menentukan pengenaan cukai ke atas pendapatan perniagaan bagi individu? Di sini kami kongsikan apakah yang perlu anda tahu tentang cukai ke atas individu berpendapatan perniagaan. Cukai yang dibayar bukan hanya dapat membantu pembangunan negara dilaksanakan dengan lebih lancar, malah ia merupakan amalan berkongsi rezeki. –Gambar Izzrafiq Alias/The Star Individu yang dikenakan cukai pendapatan perniagaan 1) Cukai bagi pendapatan perniagaan dikenakan ke atas perniagaan atau profesion yang menerima kemasukan wang ke dalam akaun bank individu termasuklah Youtubers, Instafamous, influencer atau yang membuat paid review dan lain-lain. 2) Anda perlu mendaftar fail cukai pendapatan sebaik sahaja perniagaan didaftarkan atau kerjaya dimulakan. 3) Jangan bimbang, cukai pendapatan dikenakan ke atas individu pada kadar 0 peratus hingga 30 peratus bergantung kepada jumlah pendapatan yang dilaporkan. 4) Pendapatan bercukai boleh dikurangkan dengan menuntut kesemua perbelanjaan perniagaan dan pelepasan cukai yang layak dituntut. Info grafik mengenai permohonan penyampaian taklimat percukaian kepada wakil majikan/ IPT/ persatuan. Ini 8 langkah untuk anda mula menjadi pembayar cukai yang bertanggungjawab 1) Daftar fail cukai pendapatan secara dalam talian menerusi aplikasi e-Daftar di mytax.hasil.gov.my sekiranya masih belum mempunyai Nombor Cukai Pendapatan. 2) Lapor pendapatan menerusi perkhidmatan e-Filing di mytax.hasil.gov.my. Bagi individu pemastautin yang mempunyai punca pendapatan perniagaan, anda perlu memilih Borang B. Pilih Borang M sekiranya individu tersebut bukan pemastautin. 3) Bayar cukai pendapatan (sekiranya ada) menggunakan ByrHASiL juga di mytax.hasil.gov.my. 4) Ingat tarikh akhir penghantaran borang cukai bagi individu yang mempunyai punca pendapatan perniagaan iaitu selewat-lewatnya pada 30 Jun 2023. Tambahan masa diberikan sehingga 15 Julai 2023 bagi pengguna e-Filing. Jom Klik HASiL menerusi e-filing bagi anda yang menjalankan perniagaan antara 1 Jun 2023 hingga 30 Jun 2023. 5) Jika selesai lapor pendapatan dan bayar cukai anda, simpan dokumen, rekod dan akaun perniagaan bagi tempoh 7 tahun. 6) Sediakan akaun dan penyata bagi lain-lain pendapatan dan mematuhi Notis Bayaran Ansuran (CP500). 7) Maklumkan juga secara bertulis kepada HASiL sekiranya perniagaan ditamatkan atau berlaku pertukaran ahli kongsi. 8) Senarai pendapatan yang dikenakan cukai bagi individu boleh dirujuk di https://www.hasil.gov.my/ dengan menaip kata kunci carian BILA DIKENAKAN CUKAI di halaman utama Portal Rasmi HASiL. Belum pernah lapor pendapatan atau bayar cukai? Inilah masanya anda sertai PKPS 2.0 Sekiranya anda pembayar cukai baharu yang sudah memulakan perniagaan, mempunyai pendapatan atau telah melupuskan aset dan belum pernah melaporkan pendapatan kepada HASiL, inilah masanya untuk melaporkan cukai. Anda boleh melaporkan pendapatan menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0 bermula sekarang sehingga 31 Mei 2024. Semua kategori pembayar cukai (kecuali kategori fail majikan) layak menyertai program khas ini. Lebih menarik, menerusi PKPS, penalti yang dikenakan adalah pada kadar 0 peratus! Tiada semakan lanjut dilakukan, sama ada melalui audit atau siasatan terhadap tahun taksiran yang berkaitan dengan pendapatan yang dilaporkan secara sukarela. Jika tidak tahu bagaimana untuk bermula atau berminat mendapatkan khidmat nasihat percukaian secara berkumpulan mewakili syarikat, persatuan dan lain-lain, permohonan boleh dibuat dengan menghantarkan permohonan menerusi emel kepada [email protected]. Apa tunggu lagi? Jom lapor dan bayar cukai pendapatan sekarang! Layari Portal Rasmi HASiL di https://www.hasil.gov.my/ untuk info lanjut. Sama-samalah kita menjadi rakyat yang bertanggungjawab dengan membayar cukai. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube