BEBERAPA hari lalu kecoh di media sosial satu video memaparkan aksi seorang wanita mendakwa dirinya pegawai kanan polis dan mengeluarkan perkataan berunsur hinaan kepada anggota bawahan. Belum reda kisah itu, kini wanita yang sama sekali lagi mencetuskan kontroversi. Sejak Sabtu malam, tular rakaman membabitkan wanita berkenaan yang dilihat bergaduh mulut di sebuah parkir. Rakaman itu dikongsikan beberapa pengguna Twitter. "Perangai sebiji macam monyet. Padahal baru semalam viral video dia maki polis pangkat rendah, ini buat perangai pula dengan orang awam. "Harap PDRM (Polis Diraja Malaysia) dengan Perhilitan boleh segera bertindak, kembalikan dia ke habitat asal," ciap @_AmranFans. Menerusi video berdurasi 1.31 saat itu, wanita berkenaan dilihat meluahkan rasa tidak puas hati kepada seorang pemilik kenderaan di kawasan parkir tersebut sambil dia turut membuat rakaman menerusi telefon bimbit. ARTIKEL BERKAITAN: “Pangkat kau lagi kecil daripada aku!” - Wanita dakwa pegawai kanan PDRM hina lans koperal, netizen kagum abang polis tahan maki "Parkir besar-besar macam ni, dia buka kereta... dia menjerit. Padahal saya nak parkir kereta. Dia boleh menjerit 'hoi' dan kata saya gila. Inilah orangnya," kedengaran dia bercakap di dalam video itu sambil membuat rakaman. Bagaimanapun, pemilik kenderaan yang didakwa 'mengganggunya' kedengaran membalas provokasi wanita itu dengan memintanya berlalu pergi. Tidak mempedulikan kata-kata pemilik kenderaan tersebut, wanita itu terus membuat rakaman dan menyindir penampilan individu berkenaan sebelum rakaman tamat. Tidak dapat dipastikan butiran mengenai lokasi dan bila kejadian tersebut dirakam. Menerusi ruangan komen, rata-rata warga maya menggesa supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap wanita berkenaan. "Kenapa dengan dia ni? Macam mental pun ada. "Perangai macam *****. Aku yakin dia mental. "Bodohnya simpan penjawat awam macam ni. Tak dikenakan tindakan tatatertib ke?" demikian antara komen netizen. Untuk rekod, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, suspek yang merupakan penjawat awam itu telah dikenal pasti dan dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. Menurutnya lagi, dua kertas siasatan dibuka bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian tular menunjukkan pegawai tersebut menghina anggota bawahan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube