suria

Rider Ducati maut tercampak dari ‘flyover’: Penunggang motosikal lawan arus serah diri

Seorang penunggang Ducati terbabas selepas cuba mengelak sebuah motosikal yang melawan arus.

PENUNGGANG motosikal yang melawan arus disyaki menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi pada Rabu, tampil menyerah diri kepada polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek berusia 41 tahun itu membuat laporan polis berhubung kejadian, di Kajang, pada Jumaat.

"Suspek dalam perjalanan pulang ke rumah di Kajang dari Ampang tetapi tersesat dan mengambil keputusan untuk memasuki jejambat Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dengan melawan arus lalu lintas.

"Suspek kemudian bertembung dengan mangsa menyebabkan kemalangan dan dia turut terjatuh dari motosikalnya.

"Selepas kemalangan, suspek terus pulang ke rumah dan hanya mengetahui mengenai insiden menimpa mangsa setelah menonton berita di televisyen dan hebahan di media sosial," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mohd Azam berkata, suspek dibebaskan buat masa ini akibat kecederaan parah yang dialaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Penunggang Ducati maut elak motosikal lawan arus, tercampak dari 'flyover'

ARTIKEL BERKAITAN: Rakan bongkar sifat mulia rider Ducati... Arwah istiqamah solat jemaah, suka hadiri majlis ilmu - "Dia juga pencinta sunah"

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek mengalami pelbagai kecederaan antaranya patah bahu kanan, patah jari kelingking selain luka pada bahu kiri dan kaki kanan.

"Antara beberapa barang yang dirampas untuk siasatan adalah motosikal milik suspek.

"Setakat ini, polis telah merakamkan keterangan enam saksi termasuk suspek," katanya.

Dalam kejadian pukul 1.05 tengah hari Rabu, mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62, dari arah Ampang dalam perjalanan memasuki susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Ulu Kelang.

Menerusi satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular, mangsa yang menunggang motosikal jenis Ducati di sebuah laluan berselekoh cuba mengelak sebuah motosikal yang ditunggang secara melawan arus.

Bagaimanapun, motosikal mangsa terbabas melanggar penghadang sebelah kiri jalan dan sebelum terhumban dari atas jejambat lebuh raya pada ketinggian kira-kira 30 meter, manakala motosikalnya terseret ke tengah jalan.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain