suria

Isteri sarat mengandung anak pertama... Guru tahfiz didakwa liwat pelajar lelaki

Seorang guru tahfiz (kanan) mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan meliwat seorang pelajar.

SEORANG guru di sebuah sekolah agama didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru, atas tiga pertuduhan meliwat seorang pelajar lelaki.

Tertuduh yang berusia 27 tahun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, di hadapan hakim, Siti Noraidi Sulaiman pada Khamis.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berusia 16 tahun di sebuah sekolah agama di Benut, Pontian pada Julai dan November tahun lalu, serta Mac tahun ini.

Tertuduh yang juga warden asrama dikatakan melakukan perbuatan itu di sebuah unit asrama di sekolah agama itu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin meminta jaminan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selain itu, tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Peguam bela tertuduh, Omar Kutty Abdul Aziz memohon jumlah jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh berpendapatan sederhana.

"Gaji bulanannya RM1,800 dan dia perlu menanggung isterinya yang kini mengandung anak pertama," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM18,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat-syarat tambahan.

Siti Noraidi juga menetapkan 23 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain