suria

2 sekolah Malaysia disenarai pendek untuk ‘Hadiah Sekolah Terbaik Dunia 2023’

SK Seri Permai dan SK Kanchong Darat merebut pengiktirafan Hadiah Sekolah Terbaik Dunia.

DUA sekolah rendah Malaysia disenarai pendek untuk dua kategori dalam 'Hadiah Sekolah Terbaik Dunia 2023'.

Sekolah Kebangsaan Seri Permai di Bayan Baru, Pulau Pinang, disenaraikan dalam senarai pendek 10 teratas untuk Hadiah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Inovasi.

Sekolah tersebut memperkenalkan satu kaedah yang bijak untuk meringankan beg sekolah berat yang perlu dibawa oleh mereka setiap hari.

Dikenali sebagai Smart and Easy Table (SnET) 2.0, inovasi meja dan ruang simpanan buku itu yang boleh dikunci pada meja sekolah, sekali gus menyaksikan penurunan berat beg dari 10 kilogram (kg) kepada 2.5kg sahaja.

Sementara itu, Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat di Banting, Selangor, berada dalam senarai pendek Top 10 untuk Hadiah Sekolah Terbaik Dunia bagi program Menyokong Kehidupan Sihat.

Bagi menarik minat murid hadir ke sekolah selepas pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekolah di luar bandar itu mengadakan program 'Minda Hebat, Warga Sihat' yang menggalakkan kehadiran murid di samping meningkatkan kesihatan fizikal dan emosi.

Pihak sekolah mengadakan pertandingan lompat tali yang menyeronokkan semasa waktu rehat, yang menarik minat murid untuk kembali ke sekolah.

Pendekatan sekolah terhadap kesejahteraan murid meningkatkan kehadiran dengan penambahbaikan dalam data kesihatan murid, memastikan mereka mencapai potensi masing-masing di bilik darjah.

Kedua-dua sekolah ini berpeluang memenangi sebahagian daripada hadiah keseluruhan AS$250,000 (RM1.16 juta), untuk dikongsi sama rata bersama lima pemenang, dengan masing-masing menerima AS$50,000 (RM231,300).

Lima Hadiah Sekolah Terbaik Dunia, yang diasaskan pada tahun lalu oleh T4 Education, dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Accenture, American Express dan Yayasan Lemann, adalah hadiah pendidikan paling berprestij di dunia.

Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah.

"Dalam dunia di mana lebih ramai golongan muda mendambakan tujuan dan cita-cita untuk mencipta perubahan positif, sekolah-sekolah ini berdiri sebagai inspirasi.

"Pengiktirafan ini bukan sahaja mempamerkan kaliber luar biasa sekolah-sekolah Malaysia tetapi juga menandakan satu langkah penting ke arah masyarakat yang progresif, di mana pendidik dan golongan muda memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan kita bersama," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Pengasas Pendidikan T4 dan Hadiah Sekolah Terbaik Dunia, Vikas Pota berkata: "Sekolah yang disenarai pendek untuk Hadiah Sekolah Terbaik Dunia, tidak kira di mana mereka boleh ditemui atau apa yang mereka ajar, semuanya mempunyai satu persamaan.

"Mereka mempunyai budaya sekolah yang kukuh. Ketua mereka tahu kaedah menarik dan memotivasikan pendidik, memberi inspirasi kepada perubahan dan membina persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang.

“Saya harus mengucapkan tahniah kepada Sekolah Kebangsaan Seri Permai dan Sekolah Kebangsaan Kanchong Darat kerana disenaraikan dalam senarai pendek Top 10 untuk Hadiah Sekolah Terbaik Dunia 2023," katanya.

Lima Hadiah Sekolah Terbaik Dunia - untuk Kerjasama Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Mengatasi Kesusahan dan Menyokong Kehidupan Sihat, meraikan sekolah di mana sahaja kerana memainkan peranan dalam membangunkan generasi pelajar akan datang dan atas sumbangan besar mereka kepada kemajuan masyarakat, terutamanya ketika pandemik Covid-19.

Hadiah itu diwujudkan untuk berkongsi amalan terbaik sekolah yang mengubah kehidupan pelajar dan membuat perubahan sebenar kepada komuniti mereka.

Tiga finalis teratas untuk setiap hadiah akan diumumkan pada September depan, manakala pengumuman pemenang pula pada Oktober.

Pemenang bagi setiap hadiah akan dipilih berdasarkan kriteria oleh juri yang terdiri daripada ahli akademik, pendidik, badan bukan kerajaan, usahawan sosial, kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta dari seluruh dunia.

Semua 50 sekolah yang disenarai pendek akan dijemput untuk berkongsi amalan terbaik mereka melalui aplikasi T4 Communities atau School Transformation Toolkits yang mempamerkan resipi kejayaan kepada pendekatan inovatif dan panduan mengenai langkah-langkah untuk dicontohi bagi membantu menaik taraf pendidikan di mana-mana. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain