suria

Dagu warga emas terhiris bergelut dengan perompak berparang, polis buru suspek

Suspek yang menetak wanita tersebut kini sedang diburu pihak polis. -Gambar hiasan

SEORANG wanita berusia 50an dilibas oleh perompak bersenjatakan parang yang memecah masuk rumahnya pada siang hari di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi, Johor.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata polis menerima laporan berhubung kejadian rompakan di mana mangsa mengalami kecederaan, kira-kira jam 3.30 petang Ahad.

“Mangsa sedang tidur di dalam biliknya apabila suspek bertopeng yang bersenjatakan parang memecah masuk rumahnya kira-kira jam 12.40 tengah hari,” katanya.

“Suspek cuba menekup muka mangsa sehingga menyebabkan wanita itu terjatuh ke lantai akibat berlaku pergelutan.

"Kedua-duanya kemudian bergelut dan suspek tiba-tiba melibas mangsa dengan parang sehingga menyebabkan dagunya terhiris,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, suspek kemudian meragut seutas rantai tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian.

Mangsa yang kini stabil mengalami kerugian kira-kira RM3,000.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi polis Kota Tinggi di talian 07-8831222 atau membuat laporan di balai polis berhampiran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain