suria

Pantas! Perkeso semak butiran waris tragedi kepala air, bakal terima bayaran faedah segera

Perkeso akan mendapatkan butiran waris keluarga mangsa dengan kadar segera. -Gambar Astro Awani

MENYAYAT hati apabila mengikuti tragedi kepala air di Jeram Mawar, Kampung Air Putih, Kemaman yang menimpa sebuah keluarga yang sedang berkelah.

Operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketujuh sudah menemukan sembilan mayat mangsa tragedi daripada 10 orang yang dilaporkan hilang.

Skuad Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang cakna dengan perkembangan semasa bertindak mendapatkan maklumat awal serta membuat semakan kelayakan caruman bapa keluarga, Allahyarham Karim Abdullah, 39 tahun.

Menurut Perkeso dalam satu kenyataan, bapa kepada tujuh anak itu adalah seorang pencarum Perkeso dan didapati warisnya layak menerima faedah Skim Keilatan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

"Waris Allahyarham iaitu adiknya, Muhammad Firdaus akan menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

"Caruman Allahyarham Karim, yang sebelum ini berkhidmat sebagai pengendali jentera berat di sebuah syarikat pembalakan, melayakkan warisnya menerima faedah Pencen Penakat.

"Walaupun begitu, memandangkan isteri dan semua anak Allahyarham terkorban dalam kejadian kepala air tersebut serta ibu bapanya juga telah meninggal dunia, maka tiada lagi waris Allahyarham yang layak menerima Pencen Penakat tersebut.

"Mangsa kesembilan dalam tragedi kepala air Jeram Mawar, iaitu Muhammad Fiqri Saliman, 24, yang mayatnya ditemukan pada pagi Jumaat 7 Julai, juga layak terhadap Faedah Pengurusan Mayat (FPM) di bawah Skim Keilatan," menurut Perkeso.

Bayaran FPM sebanyak RM2,000 akan dibayar kepada waris Allahyarham Muhammad Fiqri. Arwah merupakan bakal menantu kepada Allahyarham Karim

"Kami akan mendapatkan butiran waris dalam kadar segera bagi menyelesaikan bayaran faedah pengurusan jenazah.

"Kami merakamkan ucapan takziah kepada waris keluarga dan semoga kesemua yang terkorban dalam tragedi penuh duka ini dicucuri rahmat Illahi," ujar Perkeso.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain