LALUAN di Jalan Forest City - Lebuh Tanjung Pelepas yang runtuh akibat kejadian tanah mendap pada petang Ahad, tidak melibatkan kemalangan jiwa. Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II, Hairulnizam Mohd. Noh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 2.09 petang. Sehubungan itu, seramai tujuh anggota beserta sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dikejarkan ke lokasi kejadian. ARTIKEL BERKAITAN: Nampak, tapi tak dapat buat apa-apa! Saksi cerita detik cemas tanah mendap ‘telan’ lima kereta "Setibanya di lokasi, didapati telah berlaku kejadian tanah mendap melibatkan kawasan jalan raya utama sepanjang 25 meter. "Anggota telah membuat pemantauan bagi memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum kawalan lalu lintas diserahkan kepada pihak polis," katanya dalam satu kenyataan. Terdahulu, video dan gambar mengenai insiden tersebut menjadi tular di media sosial. Sementara itu, pihak pengurusan Forest City dalam satu kenyataan memaklumkan akan melakukan siasatan penuh berhubung kejadian tanah mendap tersebut. "Siasatan akan dibuat bagi mengenal pasti punca kejadian. Projek baik pulih akan dilaksanakan secepat mungkin dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan melalui media sosial Forest City dari masa ke semasa," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube