suria

Salahuddin Ayub meninggal dunia selepas pembedahan otak

Salahuddin Ayub menghembuskan nafas terakhir pada malam Ahad.

DIKEMASKINI

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub menghembuskan nafas terakhir pada malam Ahad.

Berita sedih itu disahkan oleh anak perempuan Allahyarham, Fatihah Salahuddin pada hantaran di media sosial sebentar tadi.

"Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada pada 9.23 malam, 23 Julai 2023," tulisnya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya dalam satu kenyataan memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada pukul 9.23 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Salahuddin Ayub minta maaf kepada petani, penternak dan nelayan

"Jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibu Allahyarham di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai.

"Pihak Pejabat Menteri KPDN akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat," katanya.

Salahuddin, 61, yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) merangkap Ahli Parlimen Pulai dikejarkan ke hospital pada Jumaat selepas mengalami mual dan muntah, sebelum doktor mengesan Allahyarham mengalami pendarahan otak.

Allahyarham telah menjalani pembedahan kecemasan pada pagi Ahad dan diletakkan bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Fatimah Taha dan enam orang cahaya mata.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain